Dr Ronald Kiandee teruskan agenda transformasi sektor pertanian Sabah
00:09 Sep 23, 2020  |  By SabahKini2
Dr Ronald Kiandee teruskan agenda transformasi sektor pertanian Sabah

Sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang pertama dari Sabah, Dr Ronald menjadi harapan baru rakyat Sabah untuk terus memacu sektor pertanian di Sabah. Ketika pandemik Covid-19 kadar pertumbuhan sektor pertanian naik 1%.

Sabah: Tranformasi Sektor Pertanian

Sektor pertanian memainkan peranan penting di dalam ekonomi serta kehidupan rakyat Sabah. Pada tahun 2019, sektor pertanian menyumbang sebanyak RM 13.729 billion (16.1%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah. Ia merupakan penyumbang ke-3 terbesar kepada KDNK Sabah, selepas Sektor Perkhidmatan (RM 39.417 billion, 46.1%) dan Sektor Perlombongan & Pengkuarian (RM 22.540 billion, 26.4%).

22 bulan Warisan Plus memerintah KDNK Sabah menjunam jatuh tahun 2018 dan 2019 ke paras 0.5%.
Terburuk Malaysia dalam masa sama 7 negeri lain KDNK melonjak naik

Mengikut data Persatuan Majikan-Majikan Sabah (SEA), pada tahun 2019, jumlah keseluruhan pekerjaan di Sabah ialah 1,908,600. Daripada jumlah tersebut, sektor pertanian Sabah menyediakan 495,000 (26%) pekerjaan. Ini merupakan yang ke-2 tertinggi selepas sektor perkhidmatan (1,049,300, 55%).

Pada masa yang sama, Sabah adalah penyumbang utama untuk sektor pertanian negara. Pada tahun 2019, Sabah menyumbang 13.5% kepada sektor pertanian negara, iaitu ke-3 tertinggi, selepas Sarawak (16.3%) dan Johor (16.2%).

Ini bermakna kemampanan sektor pertanian Sabah, sebagai penyumbang besar kepada KDNK dan penyedia pekerjaan yang banyak, boleh memberi impak yang besar kepada ekonomi Sabah serta sektor pertanian negara.

Agenda transformasi sektor pertanian Sabah di zahirkan di dalam Dasar Pertanian Sabah Ke-3 (2017 – 2026) ataupun DPS3.  Pada tahun 2017, Sabah telah melancarkan DPS3 yang telah menggariskan tiga matlamat strategik – 1) meningkatkan tahap keselamatan makanan serta pendapatan para petani dan pengeluar; 2) memperkukuh pertumbuhan produktiviti dan daya saing industri pertanian; 3) mengekalkan kemampanan pertanian di Sabah.

DPS3 berhasrat untuk meningkatkan pendapatan purata petani atau pengeluar kepada RM4,000 sebulan bagi setiap isi rumah. Pada tahun 2019, di Malaysia, sejumlah 58% isi rumah yang terlibat di dalam sektor pertanian mencatat pendapatan bulanan kurang dari RM 4,000, di mana mereka berada di dalam Kumpulan B40.

Selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011 – 2020), DPS3 mengambil pendekatan penggunaan teknologi dan mekanisasi lebih tinggi untuk menangani cabaran sektor pertanian di Sabah.

Teknologi moden seperti Dron digunakan tingkat hasil pertanian

Transformasi sektor pertanian dengan penggunaan teknologi dan mekanisasi amatlah tepat memandangkan sektor pertanian negara dan Sabah masih lagi labour-intensive, dengan kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja manusia. Tambahan lagi, di Sabah pada tahun 2019, 803,000 (42%) daripada jumlah keseluruhan pekerja ialah pekerja asing.

Namun begitu, pada tahun 2019, sektor pertanian Sabah telah mencatatkan penyusutan sebanyak 0.8%, iaitu salah satu daripada 3 negeri di Malaysia yang mencatatkan penyusutan. Manakala, KDNK sektor pertanian Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2%.

Sabah kini mempunyai sinar harapan baru untuk memperhebatkan transformasi sektor pertaniannya. Pada ketika ini, Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Malaysia ialah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee. Beliau merupakan anak Sabah pertama yang dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab untuk sektor pertanian negara.

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan laporan prestasi ekonomi negara untuk Suku ke-2 2020. Secara keseluruhannya, laporan BNM tersebut menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah mengalami penyusutan sebanyak 17.1% untuk Suku ke-2 2020, berbanding dengan pertumbuhan 4.5% untuk Suku Pertama 2020.

Penyusutan yang besar dalam tempoh berkenaan telah menyebabkan prestasi ekonomi Malaysia menjadi yang terendah di kalangan negara-negara Asia. Tambahan lagi, ini merupakan prestasi ekonomi Malaysia yang terburuk sejak krisis kewangan Asia pada 1998.

Prestasi ekonomi yang buruk ini adalah akibat daripada pandemik Covid-19 yang dihadapi oleh Malaysia dan seluruh dunia. Kerajaan Malaysia telah dapat menangani pandemik Covid-19 dengan baik dengan mengambil tindakan pantas dan menyeluruh dengan menguat-kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga kini.

Mengikut laporan BNM berkenaan, sektor pertanian merupakan satu-satunya sektor ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan, dengan pertumbuhan sebanyak 1%, berbanding sektor-sektor lain yang telah mengalami pengucupan yang ketara sehingga 45%.

 
MAFI di bawah Dr Ronald Kiandee dapat menghadapi cabaran sekuriti makanan ketika wabak COVID-19

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, telah berjaya mengemudi sektor pertanian negara untuk menjana pertumbuhan di dalam suasana yang amat mencabar. MAFI telah mengambil pelbagai inisiatif bersasar untuk menjana sektor pertanian negara dalam tempoh tersebut untuk memastikan Dasar Keselamatan Makanan Negara terus terjamin serta bekalan makanan mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Agenda transformasi sektor pertanian Sabah memerlukan sokongan serta kerjasama semua pemegang taruh. Kerjasama serta hubungan baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah amatlah penting untuk melaksanakan agenda transformasi yang seragam dan menyeluruh.

Justeru itu, dengan kerjasama semua pemegang taruh, MAFI di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mampu menerajui serta merealisasikan agenda transformasi sektor pertanian Sabah. Pencapaian agenda transformasi ini dapat memberi impak yang besar kepada ekonomi Sabah dan negara, serta para petani yang ramai berdepan dengan kemiskinan dan kualiti hidup yang rendah.

Sabah bakal bangkit dan maju ke depan.

 By

A.A

4 Comments