Perbelanjaan Pelancong ke Sabah RM7.7 bilion: Sabah Perlu Lebih banyak hotel
00:01 Jan 08, 2018  |  By SabahKini2
Perbelanjaan Pelancong ke Sabah RM7.7 bilion: Sabah Perlu Lebih banyak hotel

Sabah merekodkan perbelanjaan pelancong sebanyak RM7.25 bilion pada 2016 dan angka itu dijangka meningkat kepada RM7.7 bilion bagi 2017.

KOTA KINABALU:  Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah bilik hotel dan penginapan yang tidak mencukupi untuk memenuhi jumlah pelancong yang semakin meningkat di negeri itu.

Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata memandangkan Sabah merekodkan angka perbelanjaan pelancong yang positif, kerajaan negeri bimbang usaha promosi akan menjadi sia-sia.

"Terdapat kekangan untuk mempromosi Sabah kerana kita tidak mahu pelancong sewenang-wenangnya mendirikan khemah, kerana kita tidak mempunyai bilik penginapan yang mencukupi untuk mereka.

"Sekiranya hotel tidak mencukupi pada masa depan, kita berdepan masalah besar. Akhirnya pertumbuhan menjadi tidak meningkat jika pertumbuhan pelancongan negeri tidak menepati kesediaan bilik penginapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kafe konsep Camaco Gelato, yang berpangkalan di Taiwan, di sini hari ini.

Masidi berkata, kementerian itu, menerusi agensinya, seperti Lembaga Pelancongan Sabah berusaha memastikan hotel mencukupi untuk memenuhi permintaan pada masa depan.

Beliau berkata, Sabah merekodkan perbelanjaan pelancong sebanyak RM7.25 bilion pada 2016 dan angka itu dijangka meningkat kepada RM7.7 bilion bagi 2017.

Mengenai kafe Camaco Gelato, beliau berkata keputusan Camaco membuka outlet di sini menunjukkan keyakinan syarikat tersebut terhadap iklim perniagaan dan pertumbuhan ibu negeri itu.

Berasaskan 14 syarikat penerbangan yang menawarkan destinasi ke Kota Kinabalu dan 178 penerbangan setiap minggu, dengan 84 daripadanya adalah dari China, Masidi berkata, jumlah penerbangan yang semakin bertambah itu membuktikan keyakinan pelancong terhadap keupayaan Kota Kinabalu untuk berkembang.

Sumber asal: Bernama

 

Comment