[VIDEO] 23 Oktober: Sidang Media Masidi Manjun -Sabah cadang lanjut PKPB
07:10 Oct 24, 2020  |  By SabahKini2
[VIDEO] 23 Oktober: Sidang Media Masidi Manjun -Sabah cadang lanjut PKPB

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, permohonan berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada MKN selepas mengambil kira situasi penularan Covid-19 yang masih tinggi di Sabah.

Video: Sabah Gov Official

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memohon agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini dilanjutkan lagi hingga ke satu tempoh yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, permohonan berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada MKN selepas mengambil kira situasi penularan Covid-19 yang masih tinggi di Sabah.

“Kerajaan negeri sudah memohon kepada MKN untuk melanjutkan PKPB kerana kes Covid-19 di negeri ini masih tinggi.

“Bagaimanapun, terpulang kepada MKN untuk memutuskan berapa lama tempoh PKPB baharu itu. Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPB, ia mungkin diteliti semula,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Sabah, di sini

Masidi berkata demikian ketika ditanya sama ada PKPB di seluruh negeri selama dua minggu sekarang yang akan berakhir pada 26 Oktober ini disambung atau sebaliknya.

Hari ini, Sabah mencatat 528 kes baharu positif Covid-19 dengan lapan kematian menjadikan kumulatif kes sebanyak 10,396 kes dengan 5,830 kes masih dirawat di wad seluruh negeri.

Ibu negeri kekal kawasan tertinggi merekodkan kes positif Covid-19 dengan sebanyak 228 kes, termasuk 144 kes direkodkan di Kluster Penjara Kepayan, hari ini.

Masidi berkata, 26.7 peratus daripada pesakit positif Covid-19 yang dikesan di Sabah tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan virus berkenaan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah, menafikan wujud cadangan untuk menempatkan hanya pesakit positif Covid-19 berumur bawah 90 tahun di pusat rawatan rapi hospital.

Sebaliknya, beliau berkata, pesakit semua peringkat umur yang memerlukan rawatan rapi akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan fasiliti perubatan lain.

Beliau turut menjelaskan cadangan rawatan di rumah bagi pesakit tertentu yang dinyatakan sebelum ini dibuat jika sesuai dan membabitkan jangkitan semua ahli keluarga.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan pendekatan rawatan itu memerlukan pesakit lebih berdisiplin bagi mengelak penularan selain perlu mematuhi sepenuhnya SOP Kementerian Kesihatan.

“Kaedah rawatan di rumah ini memerlukan seseorang itu berkurung sendirian dalam bilik berasingan bagi mengelak jangkitan kepada ahli keluarga lain tetapi lebih mudah jika ia membabitkan sebuah keluarga yang disahkan dijangkiti Covid-19,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Masidi berkata, kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan semua individu yang diberikan permit rentas daerah benar-benar sihat.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tiada individu membawa virus berkenaan ketika dibenarkan merentas daerah berikutan kebimbangan wujud penularan kes di kawasan tertentu yang berpunca daripada individu diberikan permit rentas daerah.

Ketika ini, polis melaksanakan larangan rentas daerah di seluruh negeri, namun membenarkan individu yang mendapat permit atau kebenaran polis untuk berbuat demikian atas alasan tertentu.

Mengenai bantuan kerajaan, setakat ini, katanya kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM50 juta untuk bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas di 25 daerah.

“Setakat hari ini, kita sudah membelanjakan RM26.7 juta dengan anggaran RM1 juta bagi setiap daerah untuk bantuan bakul makanan.

“Selain itu, kita turut menerima bantuan kerajaan Pusat sebanyak RM50 juta dan ia akan digunakan secara berperingkat untuk membantu rakyat di seluruh negeri,” katanya.

 

LAPORAN PENUH

 

 

Comment