RM160 juta bantuan Prihatin Covid-19 untuk rakyat Sabah
17:11 Nov 16, 2020  |  By SabahKini2
 RM160 juta bantuan Prihatin Covid-19 untuk rakyat Sabah

Sejumlah RM160 juta yang disediakan kerajaan negeri dilihat akan dapat memanfaatkan seramai 1.67 juta penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

KOTA KINABALU: Peruntukan sejumlah RM160 juta yang disediakan kerajaan negeri dilihat akan dapat memanfaatkan seramai 1.67 juta penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, RM34.86 juta telah diperuntukkan bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada individu yang dikuarantin dan penduduk tersenarai dalam e-Kasih yang terjejas akibat pandemik Covid-19 setakat semalam.

Sementara, untuk Bantuan Prihatin Covid-19, sejumlah RM33.76 juta telah diperuntukkan kepada 113, 919 orang penerima daripada kumpulan sasar.

Ia termasuk bantuan kewangan secara sekali bayar (one off) bagi mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor seperti pertanian, pelancongan, pengangkutan, perniagaan iaitu penjaja, golongan rentan di bawah B40, e-Kasih, anak yatim, OKU, ibu tunggal, pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan juga pelajar universiti di Sabah yang terkesan.

Untuk makluman, sebanyak RM7.3 juta diperuntukkan kepada 24,343 orang penerima bantuan am, anak yatim, orang tua, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU). Manakala, sebanyak RM1.33 juta bagi 4,446 orang ibu tunggal.

Manakala, sebanyak RM15.67 juta diperuntukkan kepada 52,228 orang petani, golongan B40 terdiri daripada nelayan, pekebun sawit, pekebun kecil koko, penoreh getah dan penternak.

“Untuk pemandu pelancong, malim gunung, porters Taman Kinabalu, penggiat seni dan dive masters seramai 2,984 dengan perbelanjaan RM895,200. Selain itu, sejumlah RM4.85 juta diperuntukkan kepada 16,179 orang yang berdaftar dengan eKasih dan golongan B40.

“Sementara, RM100,000 diperuntukkan kepadda 1,721 pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Sabah. Manakala, sebanyak RM1.16juta diperuntukkan kepada 3,860 orang pemandu teksi, bas dan lori termasuklah Institusi Memandu Sabah serta Bot-bot Penambang (Menumbok/Labuan, Orang Sabah),” katanya dalam sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Calvin Chong (DAP-Elopura), Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian), Datuk Christina Liew (PKR-Api Api), Tan Lee Fatt (DAP-Likas) mengenai peruntukan dana daripada kerajaan negeri dan persekutuan yang dibelanjakan bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 di Sabah.

Untuk bantuan kepada penjaja pula, beliau berkata, sejumlah RM 2.45 juta diperuntukkan kepada 8,158 orang penjaja.

Selain bantuan kewangan, kerajaan negeri turut memberikan pengecualian sewa gerai penjaja bagi tempoh tiga bulan mulai Oktober hingga Disember, pengecualian fi bagi penjaja untuk tahun 2021 dan pengecualian sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) untuk bulan Oktober hingga Disember.

Manakala, peruntukan RM50 juta daripada kerajaan persekutuan digunakan bagi memerangi dan membendung pandemik Covid-19 di Sabah.

Dana tersebut digunakan bagi pembayaran penginapan dan makan minum petugas barisan hadapan (frontliners) dan petugas-petugas; penyewaan kenderaan bagi kegunaan petugas barisan hadapan; pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk semua agensi kecuali Kementerian Kesihatan Malaysia; dan keperluan di Pusat Kuarantin dan Pusat Rawatan Covid-19

 

Comment