(VIDEO) Ujian saringan besar-besaran Covid-19 di Telipok dan Kampung Numbak- Masidi
10:11 Nov 17, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) Ujian saringan besar-besaran Covid-19 di Telipok dan Kampung Numbak- Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, saringan itu menyasarkan 10 peratus daripada kira-kira 15,000 penduduk di penempatan Telipok dan 5,700 orang di Numbak

SIDANG MEDIA PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19 NEGERI SABAH
Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan menjalankan ujian saringan besar-besaran bagi mengesan individu positif Covid-19 di penempatan Telipok dan Kampung Numbak hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, saringan itu menyasarkan 10 peratus daripada kira-kira 15,000 penduduk di penempatan Telipok dan 5,700 orang di Numbak.

Katanya, langkah itu diambil sejajar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kedua-dua lokaliti yang bermula hari ini.

“Jabatan Kesihatan akan mula melaksanakan ujian saringan di kedua-dua lokasi bagi mengesan penularan virus Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Langkah ini perlu memandangkan ada kes positif yang tinggi dikesan sebelum ini dengan sebanyak 134 kes di Numbak dan 207 kes di penempatan Telipok.

“Ia juga adalah sebab mengapa kedua-dua lokaliti ini dilaksanakan PKPD,” katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 di Sabah, di sini

Katanya, daripada 134 kes positif Covid-19 di Numbak sebelum ini, 25.4 peratus adalah warga asing manakala daripada 207 kes positif di penempatan Telipok, warga asing adalah 13.4 peratus.

Berikutan pelaksanaan ujian saringan secara besar-besaran itu, Masidi menjangkakan berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Kota Kinabalu dalam tempoh dua tiga hari akan datang.

“Ini bermakna walaupun kita lihat hari ini jumlah kes di Kota Kinabalu menunjukkan penurunan yang banyak dan situasi Covid-19 di seluruh negeri juga lebih stabil, keadaan itu mungkin berubah semula dalam tempoh dua tiga hari akan datang,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan, katanya, Sabah mencatat 288 kes positif baharu Covid-19 hari ini dengan empat kematian, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan Tawau manakala 372 pesakit dilaporkan sembuh.

“Daerah Kota Kinabalu mencatat 86 kes diikuti Tawau (53 kes), Tuaran (30 kes) dan Penampang (24 kes). Keempat-empat daerah ini menyumbang 40 peratus kes hari ini membabitkan kes kontak rapat,” katanya.

Menurutnya, daerah Sandakan mencatat 22 kes diikuti Putatan (17 kes), Lahad Datu (15 kes), Semporna (14 kes), Papar (sembilan), Kota Belud dan Keningau masing-masing lima kes, manakala Kudat dan Beaufort masing-masing empat kes.

Beliau berkata, daerah Kinabatangan, Sipitang, Beluran, Pitas, Kota Marudu, Tambunan, Tongod, Kuala Penyu, Kunak, Telupid, Ranau, Tenom dan Nabawan tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini.

Sementara itu, katanya, PKPD di Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Kota Kinabalu dan Kluster Penjara Kepayan ditamatkan mulai hari ini selepas kes aktif menunjukkan penurunan ketara.

“Bagi PTS Kota Kinabalu, sebanyak 1,824 ujian saringan dilakukan dengan 425 kes didapati positif manakala di Penjara Kepayan sebanyak 3,970 saringan dilakukan dengan 1,857 kes positif.

“Sehingga 14 November lalu, kes di kedua-dua kluster terkawal dengan hanya 25 kes aktif di PTS Kota Kinabalu manakala satu kes aktif di Penjara Kepayan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk menamatkan PKPD di kedua-dua lokaliti.

Comment