(VIDEO) Dua kampung di Kota Belud dilaksana PKPD bermula 20 November
17:11 Nov 18, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) Dua kampung di Kota Belud dilaksana PKPD bermula 20 November

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata dua kawasan itu adalah Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon melibatkan 1,740 penduduk.

SIDANG MEDIA PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19 NEGERI SABAH
Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

 
Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Kota Belud bermula Jumaat ini.
 
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata dua kawasan itu adalah Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon melibatkan 1,740 penduduk.
 
Tegasnya, keputusan itu dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu selepas mendengar pembentangan daripada MKN Sabah mengenai peningkatan kes positif COVID-19 di dua kampung tersebut.
 
"Sehingga 17 November 2020, sebanyak 36 kes positif COVID-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti.
"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud, bermula 20 November 2020 sehingga 3 Disember 2020,” katanya menerusi sidang media secara maya pada Rabu.
 
Tambah Masidi, Prosedur operasi standard SOP di kawasan PKPD adalah sama seperti yang diumumkan di kawasan-kawasan PKPD lain sebelum ini.
 
"SOP PKPD di Sabah adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini seperti kedai runcit di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang dan seorang wakil dari setiap rumah turut dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dengan kebenaran PDRM khusus untuk mengeluarkan wang,” katanya.
 
Pada Rabu kes baharu positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 387 kes dengan dua kes kematian dicatatkan di daerah Sandakan.
 
Tambah Masidi terdapat tiga kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Sabaru di Lahad Datu mencatatkan sebanyak 70 kes, Kluster Garden di Tawau dengan tiga kes dan Kluster Tomher di Ranau sebanyak 12 kes.
 
"Daripada 387 kes positif hari ini, sebanyak 205 kes atau 52.97 peratus adalah berpunca dari Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau sebanyak 135 kes dan dari kluster terbaharu iaitu Kluster Sabaru sebanyak 70 kes di Lahad Datu,” katanya.
Comment