(VIDEO) Kes COVID-19 di Sabah menurun namun masih bahaya - Masidi
01:12 Dec 03, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) Kes COVID-19 di Sabah menurun namun masih bahaya - Masidi

Penurunan kes positif COVID-19 di Sabah s disifatkan masih bahaya kerana ia kekal dalam lingkungan tiga angka, kata jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun. Teruskan SOP untuk putuskan rantaian Covid-19

SIDANG MEDIA PERKEMBANGAN SEMASA COVID-19 NEGERI SABAH
Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II

KOTA KINABALU: Penurunan kes positif COVID-19 di Sabah sejak beberapa hari lalu disifatkan masih bahaya kerana ia kekal dalam lingkungan tiga angka, kata jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun.

"Kita masih dalam lingkungan yang bahaya. Tiga angka kes harian positif COVID-19 ketika ini tidak membuatkan kita selesa, lebih-lebih lagi masih ada turun naik kes.

"Angka ini sepatutnya mengingatkan kita supaya terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang dijadualkan tamat pada 6 Disember ini akan ditamatkan atau sebaliknya.

Masidi berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Sabah, kes positif COVID-19 di Sabah masih menunjukkan turun naik iaitu daripada 441 kes pada 27 November lalu kepada 476 kes (28 November), 290 kes (29 November), 326 kes (30 November), 267 kes semalam dan 229 kes hari ini.

Katanya, kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek termasuk ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan COVID-19 di Sabah dalam beberapa hari menjelang tamatnya tempoh PKPB sekarang.

"Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan membuat penilaian dan analisa mengenai situasi semasa COVID-19 di negeri ini dan memberikan nasihat berhubung perkara itu kepada kerajaan negeri.

"Keputusan sama ada untuk melanjut atau menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan yang lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sehubungan itu, kerajaan berharap rakyat bersabar menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara ini. Kerajaan merayu semua pihak terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut, Masidi bagaimanapun, berkata jika PKPB diteruskan, kerajaan boleh melonggarkan beberapa syarat atau SOP mengikut situasi semasa.

"Kalau situasi di Sabah bertambah baik sepanjang minggu ini, mungkin kita boleh melonggarkan syarat PKPB seterusnya," katanya.

Sementara itu aktiviti mendaki Gunung Kinabalu akan dibuka semula secara berperingkat bermula Isnin depan.

Masidi Manjun berkata, ia sejajar kebenaran untuk membuka semula taman di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah mulai hari sama.

“Kerajaan negeri melalui Taman-Taman Sabah bersiap sedia untuk membuka semula pintu taman secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat bermula 7 Disember ini.

“Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu juga akan dibuka secara berperingkat bermula pada hari yang sama.

“Sebagai permulaan, kapasiti pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus berbanding kapasiti pendaki yang dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

15 Comments