(VIDEO) Krismas di Sabah: Had serta kenal pasti jemputan, elak hadir majlis yang ramai - Masidi Manjun
06:12 Dec 17, 2020  |  By SabahKini2
(VIDEO) Krismas di Sabah: Had serta kenal pasti jemputan, elak hadir majlis yang ramai - Masidi Manjun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Hari Krismas yang bakal disambut minggu hadapan perlu dirai dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Sidang media perkembangan  semasa COVID-19 Negeri Sabah
Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun
Menteri Kerajaan Tempatan & Perumahan Dan Menteri Kewangan II
 
 
KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya mereka yang meraikan sambutan Hari Krismas disaran elak dari menghadiri acara keraian yang disertai ramai individu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Hari Krismas yang bakal disambut minggu hadapan perlu dirai dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
 
"Kalangan rakan-rakan saya yang beragama Kristian ada menyuarakan kebimbangan wujud kluster baharu susulan penganjuran sambutan Hari Natal (Krismas) minggu hadapan dan mahu tahu apakah langkah dan nasihat dari kerajaan.

"Jawapan saya adalah, negeri ini masih merekodkan bilangan kes jangkitan COVID-19 setiap hari dan virus itu masih ada.
 
"Jadi saya nasihatkan agar orang ramai mengelakkan diri dari menghadiri sebarang keraian kerana mungkin disebabkan 'social gathering' selama 15 minit, kita terpaksa menanggung kesusahan dikuarantin hampir 15 hari.

"Setiap keluarga perlu mengambil kira siapa yang mereka jemput bagi mengelak penularan wabak dan mungkin hanya membenarkan kepada ahli keluarga sahaja," katanya menerusi sidang media maya Laporan Harian COVID-19 Sabah yang diadakan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Pada Rabu jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 268 kes dan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 33,639 kes.
Lima kes kematian dicatatkan iaitu tiga kes di daerah Tawau dan dua kes di daerah Lahad Datu.

Daripada 268 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 108 kes adalah berpunca dari saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada,106 kes dari saringan kontak rapat di 14 daerah, saringan bergejala (28 kes), saringan komuniti (4 kes) dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori.

Satu kluster baharu turut dilaporkan di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Bukit Punai mencatatkan lima (5) kes hari ini menjadikan kumulatif tujuh kes.
Comment