PRU15: BN Sabah Sedia Kurangkan Kerusi Parlimen beri ruang GRS
16:01 Jan 04, 2021  |  By SabahKini2
PRU15: BN Sabah Sedia Kurangkan Kerusi Parlimen beri ruang GRS

Berbeza dengan Semenanjung. Belajar dari kesilapan PRN Sabah lalu. BN Sabah meneruskan kompromi dengan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi meletakkan calon PRU 15 mengutamakan kemenangan sebagai fokus utama.

Barisan Nasional (BN) Sabah menyatakan kesediaan mengurangkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memberi ruang kepada parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini bagi memastikan kemenangan PRU15 menjadi milik mereka dan kerajaan semasa.

“Dulu (PRU14), BN (Sabah) meletakkan 14 kerusi untuk UMNO, tetapi (kali ini) kita sedia berunding. Kita mahu menang kerana sekarang ini bukan soal bertanding berapa (banyak kerusi) tetapi berapa banyak (kerusi) yang boleh kita menang.

“Bertanding kalau banyak kalah pun tidak guna juga, biarlah tidak bertanding banyak tetapi kita menang sokongan,” katanya, sambil menganggarkan sasaran awal UMNO bertanding di 10 hingga 12 kerusi pada PRU15.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kinabatangan di sini.

Katanya BN akan berusaha mempertahankan kerajaan GRS yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS), sekali gus memastikan semua calon parti gabungan kerajaan itu menang pada PRU15.

Sementara itu, Bung Moktar berkata cawangan UMNO yang tidak aktif selain keahlian yang tidak mencukupi akan dibubarkan.

“Hal ini penting dalam pilihan raya kerana kita memerlukan pengundi, apabila ada cawangan yang gagal berfungsi misalnya ketua cawangan dia kena ada ahli dan matlamat utama ialah ahli itu kena jadi pengundi.

“Namun, ada ketua cawangan pun tidak tahu berapa ahli yang mengundi di cawangannya. Pada saya itu tidak baik, jadi saya menetapkan di Sabah bahawa kita akan bubar cawangan tidak memainkan peranan ini,” katanya. – BERNAMA

2 Comments