44 kawasan dilanda banjir di Beaufort
16:01 Jan 06, 2021  |  By SabahKini2
44 kawasan dilanda banjir di Beaufort

Kawasan terjejas banjir di daerah ini berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Lumadan.

Beaufort: Limpahan Sungai Padas semalam menyebabkan 44 kawasan rendah di sekitar daerah ini dilanda banjir.

Kawasan terbabit ialah Kampung Binunuk, Balibata, Simpang Empat, Bakalau, Sungkadan Tuhu Lupak, Melalugus, Batandok Lubak, Melati, Lumatai dan Mempagar.

Turut terjejas Kuarters Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Beaufort, Kuarters Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Kampung Lawa, Lago, Suasa, Kangsa, Berumbai dan Bangkalalak.

Kampung yang turut terjejas ialah Batu 60, Batu 58, Jempangah, Kitalabak Lumatai, Luagan Sanginan, Labou, Bakalau, Bingkul, Mapait, Limbawang, Lajau, Lubak, Poring Lupak, Lupak, Tuhu, Selinsing, Beringin, Gadong, Lawa, Kebajang Ulu, Kukup, Jabang, Mentulud, Kuala Balik, Batu 65 dan Kampung Cina.

Kawasan terjejas banjir di daerah ini berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Lumadan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort, berkata berikutan banjir, lima jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan ringan iaitu Jalan Kampung Lago, Jalan Kampung Suasa, Jalan Kampung Bangkalalak, Jalan Mahkamah dan Jalan Simpang Empat, manakala Jalan Kampung Binunuk tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Laluan lain yang tidak boleh dilalui kenderaan ialah Jalan Kampung Cina, Padas Valley, Jalan Kampung Laboi, Jalan Kampung Luagan Sanginan, Jalan Kampung Kangsa, Jalan Kampung Berumbai dan Jalan Kampung Kitalabak, Lumatai.

Jalan raya yang turut ditenggelami air ialah Jalan Kampung Balibata, Jalan Melalugus, Jalan Kampung Batandok Lubak dan Jalan Kampung Lawa.

Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga sudah dibuka, namun belum ada mangsa yang dipindahkan setakat ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun, berkata setakat ini belum ada mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Datuk Mohd Dun Banir, di sini.

Katanya, hanya dua keluarga di Kampung Lumadan dipindahkan semalam, namun hanya menumpang di masjid berdekatan.

"Penduduk di Beaufort ini sudah biasa dengan situasi banjir, jadi mereka tidak panik apabila berlaku banjir. Cuma, kita mengingatkan mereka supaya segera berpindah jika keadaan makin buruk.

"Banjir agak lambat surut walaupun keadaan hari ini cerah disebabkan air pasang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Paras air Sungai Padas menunjukkan penurunan dengan bacaan terkini 9.38 meter pada jam 1 tengah hari tadi berbanding 9.56 meter pada jam 9 pagi tadi.

Bacaan air Sungai Padas berada pada paras bahaya apabila mencapai 8.7 meter, paras amaran (lapan meter) dan paras waspada (7.5 meter).

Comment