Kerjasama rapat dengan Persekutuan tingkat pelaburan asing, domestik di Sabah
13:01 Jan 07, 2021  |  By SabahKini2
Kerjasama rapat dengan Persekutuan tingkat  pelaburan asing, domestik di Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkesempatan membincangkan perkara itu dalam pertemuan bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dan rakan sejawat di Persekutuan bekerjasama rapat untuk meningkatkan aliran masuk pelaburan asing dan domestik ke Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkesempatan membincangkan perkara itu dalam pertemuan bersama Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini.

Hajiji turut memaklumkan Azmin mengenai visi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rangka tindakan pembangunan untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta mencapai pembangunan yang berkualiti untuk Sabah.

"Kerajaan negeri komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih banyak pelabur ke Sabah," katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memastikan program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dilaksanakan dengan jayanya demi manfaat rakyat di Sabah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 baru-baru ini menjelaskan aliran masuk dana pelaburan domestik dan asing khususnya dalam sektor pembuatan pada 2019 meningkat dengan ketara kepada RM6.48 bilion daripada RM0.23 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, bagi suku pertama tahun lalu, nilai pelaburan yang diluluskan adalah RM11.7 bilion, sekali gus membuktikan Sabah terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur asing.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menyasarkan pertumbuhan sektor ini pada 17.0 peratus setahun dengan unjuran sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 35 peratus pada 2030.

Beliau berkata, tahun ini, sejumlah RM142.85 juta diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian dan perdagangan di bawah Kementerian Kewangan; Kementerian Pembangunan Perindustrian; Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dan Jabatan Ketua Menteri (JKM).

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak RM49.35 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian termasuk Jabatan Pembangunan Industri dan Penyelidikan untuk melaksanakan berbagai program.

Menurutnya, ia termasuklah program pembangunan infrastruktur industri, keusahawanan, mempromosikan pelaburan, dan usaha untuk meningkatkan daya saing industri dengan memanfaatkan Revolusi Industri (IR) 4.0.- UB

3 Comments