Negara miskin dijangka terima vaksin beberapa minggu lagi
08:01 Jan 08, 2021  |  By SabahKini2
Negara miskin dijangka terima vaksin beberapa minggu lagi

Pengarah Jabatan Imunisasi WHO, Kate O'Brien, berkata melalui usaha perolehan dan pengedaran vaksin melalui perikatan global, COVAX, untuk mendapatkan dua bilion dos.

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan negara miskin di dunia akan menerima dos pertama vaksin COVID-19 antara hujung bulan ini hingga pertengahan Februari.

Pengarah Jabatan Imunisasi WHO, Kate O'Brien, berkata melalui usaha perolehan dan pengedaran vaksin melalui perikatan global, COVAX, untuk mendapatkan dua bilion dos.

Sehubungan itu, beliau berkata, kumpulan pertama akan mula diedarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Katanya, COVAX sebuah inisiatif antarabangsa dipimpin WHO mensasarkan untuk memastikan 20 peratus daripada populasi di setiap negara disuntik dengan vaksin menjelang hujung tahun ini dengan dana diberikan bagi 92 negara ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana yang terbabit dalam skim ini.

Ditanya tempoh terdekat negara Afrika boleh mendapatkan vaksin itu, O'Brien melalui media sosial WHO secara langsung berkata, kemudahan itu mempunyai akses terhadap lebih dua bilion vaksin.

"Kita akan mula mengedarkan vaksin ini berkemungkinan akhir Januari ini dan jika tidak pastinya pada awal dan pertengahan Februari.

"Negara di Afrika dan Asia Tenggara serta beberapa negara lain di seluruh dunia daripada 92 ahli yang kurang berkemampuan mendapatkan vaksin akan mendapatkan kemudahan itu, " katanya.

Projek COVAX dipimpin secara bersama oleh WHO, gabungan vaksin Gavi dan Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI).

Sehingga kini, vaksin COVID-19 sudah tiba di beberapa negara kaya termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, negara Kesatuan Eropah dan Kanada. 

Malaysia turut menganggotai COVAX namun terpaksa membayar lebih RM90 juta bersama Singapura sebagai syarat berbanding negara asean lain diberi secara percuma.

1 Comment