PKP 2.0 Bersasar dilaksana 13 Januari?
04:01 Jan 10, 2021  |  By SabahKini2
PKP 2.0 Bersasar dilaksana 13 Januari?

Lambat atau cepat kemungkinan PKP 2.0 dilaksana secara bersasar tetap dilaksanakan dengan SOP ketat bagi mengelak penularan Covid-19.

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 mencecah empat angka sejak kebelakangan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan membincangkan pendekatan serta langkah terbaik mengawal penularan itu.

"Kerajaan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memperhalusi dan menilai tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.

"Ini termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat dilaksanakan terutama membabitkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan sekali gus mengurangkan jangkitan Covid-19," katanya dalam sidang media, hari ini.

Pengumuman PM

Ismail Sabri berkata, satu pengumuman akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin ini bagi memaklumkan tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang peningkatan kes kebelakangan ini.

"Kerajaan juga sangat memahami beban tugas petugas kesihatan berikutan peningkatan kes mendadak apatah lagi beberapa negeri ketika ini sedang diuji bencana banjir," katanya.

PKP 2.0 'Bersasar'

Menurut sumber Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bersasar bakal dilaksanakan pada 13 Januari ini terutamanya di negeri-negeri zon merah seperti Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang. Lambat atau cepat kemungkinan PKP 2.0 tetap dilaksanakan mungkin SOP yang berbeza dengan sebelum ini. 

Sinar Harian pada 8 januari lalu melaporkan tinjuan mereka di lapangan menunjukkan rakyat menyokong pelaksanaan PKP  melihat kepada kekhuatiran dengan situasi pandemik itu di negara ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah jawapannya sebagaimana sebelum ini. 

Sekalipun bakal menjejaskan pendapatan dan kehilangan pekerjaan netizen mahukan SOP lebih ketat dan PKP bersasar dilakukan terutama di kawasan Zon merah. 

Ini sejajar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 januari mencadangkan PKP bersasar bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara kini berdepan dengan situasi yang kritikal dan memerlukan solusi ‘pemutus litar’ dalam menurunkan jumlah kes Covid-19.

Menurutnya, perancangan tersebut perlu dilaksana mengikut keadaan dan situasi di sesetengah kawasan.



 

2 Comments