Timbalan Ketua Menteri Sabah, 2 Pembantu Menteri positif Covid-19
11:01 Jan 10, 2021  |  By SabahKini2
Timbalan Ketua Menteri Sabah, 2 Pembantu Menteri positif Covid-19

Pembantu Menteri terbaru yang disahkan dijangkiti virus itu ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Hendrus Anding, yang kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud.

Kota Kinabalu: Seorang lagi Pembantu Menteri dalam jemaah Kabinet Sabah disahkan positif Covid-19, menjadikan dua Pembantu Menteri dan seorang Menteri dijangkiti virus itu di Sabah ketika ini.

Pembantu Menteri terbaru yang disahkan dijangkiti virus itu ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Hendrus Anding, yang kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud.

Sebelum ini Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik disahkan dijangkiti Covid-19 dan beliau kini dirawat di Hospital Keningau.

Difahamkan, Hendrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangkiti ketika beliau berada di kawasannya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan disahkan dijangkiti Covid-19 dan kini masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini sejak Isnin lalu.

Petang tadi, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guandee Koh Hoi, mengesahkan Robert yang juga Naib Presiden STAR dijangkiti virus itu.

Beliau memaklumkan, Robert dan Jeffrey yang juga Presiden STAR dalam keadaan baik serta stabil.

"Saya ada bercakap dengan Robert dan dia dalam keadaan baik. Presiden (Jeffrey) juga dalam keadaan baik dan bersemangat tinggi. Dia dijangka dibenarkan keluar hospital minggu depan," katanya.

Pada Oktober lalu, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor turut disahkan positif Covid-19 dan ditahan di HQE kira-kira dua minggu sebelum pulih.

Hari ini, Sabah merekodkan 409 kes baharu positif COVID-19, bertambah lapan kes berbanding 401 kes baharu semalam, menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 40,263.- HM

Comment