Kerajaan Sabah Setuju Agong Perkenan Darurat – Hajiji
23:01 Jan 12, 2021  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah Setuju Agong Perkenan Darurat – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media berkata, memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 adalah keutamaan terutama Sabah yang merekodkan antara jumlah kes positif tinggi.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bersetuju dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos depan sebagai langkah mengekang penularan pandemik wabak Covid-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dalam satu kenyataan media berkata, memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 adalah keutamaan terutama Sabah yang merekodkan antara jumlah kes positif tinggi.

“Keperluan untuk mengekang penularan virus ini dan melindungi kesihatan orang ramai adalah sangat penting,” katanya.

Hari ini, media melaporkan selain memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai ahli parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar kesihatan dan berkaitan.

Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung Covid-19 selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, semalam.

Keputusan terbabit dibuat sehari selepas Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di enam negeri termasuk Sabah, berkuatkuasa esok.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut bersetuju dengan keputusan pelaksanaan PKP untuk menghentikan wabak berkenaan di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah supaya mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan pihak berkuasa bagi menghentikan rantaian jangkitan virus berkenaan.

Selain Sabah, negeri lain yang terbabit dalam PKP adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka dan Johor.

PKP itu dikuatkuasakan selama dua minggu sehingga 26 Januari ini, sekali gus menyaksikan pergerakan rentas daerah dan negeri dilarang semula selepas dilonggarkan bermula pertengahan bulan lalu. 

2 Comments