Jaga 'kesopanan dan kesusilaan' bila beri pandangan - SKMM
01:01 Jan 13, 2021  |  By SabahKini2
Jaga 'kesopanan dan kesusilaan' bila beri pandangan - SKMM

Berikutan perkembangan semasa berkaitan pengumuman pelaksanaan PKP dan Perisytiharan Proklamasi Darurat, SKMM ingin mengingatkan semua pihak agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

Susulan pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi peringatan agar semua pihak menjaga "kesopanan dan kesusilaan" ketika menyuarakan pandangan.

Peringatan itu dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat SKMM hari ini.

Menurut SKMM, pihaknya akan membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih serta kenyataan jelik membabitkan raja, agama dan kaum.

"Berikutan perkembangan semasa berkaitan pengumuman pelaksanaan PKP dan Perisytiharan Proklamasi Darurat, SKMM sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak, terutama pengguna media sosial, agar sentiasa menjaga kesopanan dan kesusilaan ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan.

"Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," kata SKMM

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP pelbagai peringkat yang akan berkuat kuasa bermula tengah malam ini dan dijadual berakhir pada 26 Jan.

Hari ini pula, Muhyiddin mengumumkan tempoh darurat akan berlangsung sehingga 1 Ogos antara lain bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, Parlimen mahupun DUN hanya akan bersidang pada satu tempoh yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi.

Sebarang pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil juga tidak akan diadakan sehingga jawatankuasa khas bebas memaklumkan keadaan kes Covid-19 telah beransur pulih atau pulih sepenuhnya.

Menurut SKMM lagi, tindakan penguatkuasaan dijalankan berdasarkan aduan awam dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus.

"SKMM turut berharap rakyat dapat bergandung bahu bersama kerajaan dalam usaha meredakan ledakan pandemik Covid-19...Elakkan keghairahan yang melampau atau membuat spekulasi liar serta berita palsu yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni," kata SKMM

5 Comments