(VIDEO) Najib Umum Pembinaan Pusat Haemodialisis dan peruntukan PPRT Nabawan
17:01 Jan 19, 2018  |  By SabahKini2
(VIDEO) Najib Umum Pembinaan Pusat Haemodialisis dan peruntukan PPRT Nabawan

"Tan Sri Joseph Kurup (anggota Parlimen Pensiangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) minta saya beri peruntukan untuk program perumahan rakyat termiskin. Saya luluskan RM3 juta,"- Najib

 

NABAWAN: Demi kemudahan pesakit buah pinggang di Nabawan mendapatkan rawatan haemodialisis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembinaan pusat haemodialisis di daerah itu.

Beliau berkata peruntukan untuk membina kemudahan berkenaan merupakan tambahan kepada peruntukan RM8 juta yang diumumkan pada Ogos tahun lalu untuk Nabawan dan Keningau bagi pelaksanaan projek-projek kecil di dua daerah berkenaan.



"Tan Sri Joseph Kurup (anggota Parlimen Pensiangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) minta saya beri peruntukan untuk program perumahan rakyat termiskin. Saya luluskan RM3 juta," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Pekan Nabawan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan timbalannya Tan Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Kurup serta beberapa anggota Kabinet negeri dan Persekutuan.

Berkenaan permohonan peruntukan untuk pembinaan jalan-jalan kampung dan jalan ke kebun penduduk, Najib berkata perkara itu akan dibincangkan.

"Cuma tuan-tuan saya minta satu saja. Saya minta dua jam dalam lima tahun. Satu jam berbaris (dan) masuk dalam (pusat mengundi) , pandang lambang dacing, pangkah Barisan Nasional (BN)," katanya yang disambut tepukan gemuruh hadirin.

Najib berkata sekiranya rakyat terus memilih BN untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, banyak lagi pembangunan akan dibawa untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya pemimpin BN selama ini bekerja kuat siang dan malam sepanjang lima tahun dan bukannya hari ini saja atau ketika dekat pilihan raya untuk rakyat kerana menyedari bahawa kemajuan tidak datang begitu sahaja seperti peribahasa "yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek".

"Ini (kejayaan yang dicapai) semua memerlukan perancangan. Ini ada pemikiran, ada visi, ada iltizam, ada kerja bersungguh-sungguh barulah negara kita dan Sabah ini maju," katanya.

Terdahulu, perdana menteri merasmikan Klinik Kesihatan Nabawan yang dilengkapi 12 katil dan 87 kakitangan termasuk 10 doktor serta dua doktor pakar bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan lebih baik kepada penduduk di daerah itu.

Ketibaan Najib yang diiringi Musa serta beberapa anggota Kabinet negeri dan persekutuan di klinik itu yang dibina dengan kos keseluruhan RM59 juta pada kira-kira 9 pagi disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rund serta kakitangan klinik itu.

Turut hadir Pairin, Kurup dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Sejurus tiba, Najib memalu gong dan menandatangani plak yang disediakan sebagai simbolik perasmian sebelum diberi taklimat berhubung kemudahan kesihatan di klinik itu.

Najib turut melawat wad dan beramah mesra dengan beberapa pesakit yang sedang menerima rawatan di situ.

-- BERNAMA

Comment