ESSCom Tahan 14 PATI Di Lahad Datu
23:01 Jan 23, 2018  |  By SabahKini2
ESSCom Tahan 14 PATI Di Lahad Datu

Operasi bersepadu itu turut melibatkan pegawai dan anggota termasuk polis, Pasukan Gerakan Am, Majlis Daerah Lahad Datu, Jabatan Imigresen dan Jabatan Air Negeri Sabah.

LAHAD DATU, 23 Jan : Empat belas pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) selama dua hari di sekitar Lahad Datu.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata 12 warga Filipina dan dua warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dalam operasi mulai 8.30 pagi semalam dan berakhir 7.30 pagi tadi.

"Kesemua PATI yang ditahan berumur lingkungan empat hingga 60 tahun hasil pemeriksaan ke atas 46 individu di sekitar bandar Lahad Datu serta 87 individu di kawasan rumah kongsi Felda Sahabat 17 Cenderawasih," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang ditahan itu dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Tawau untuk tujuan dokumentasi.

Menurutnya operasi bersepadu itu turut melibatkan pegawai dan anggota termasuk polis, Pasukan Gerakan Am, Majlis Daerah Lahad Datu, Jabatan Imigresen dan Jabatan Air Negeri Sabah.

Hazani berkata operasi itu merupakan sebahagian tindakan agresif ESSCom dan agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras PATI serta salah laku jenayah.

"Operasi ini juga adalah satu daripada kaedah elemen 'show of force' dan operasi ini turut mendapat sokongan penduduk setempat," katanya.

-- BERNAMA

1 Comment