Penggunaan nama Allah dalam Bible di Sabah diteruskan tiada masalah
14:02 Feb 03, 2018  |  By SabahKini2
Penggunaan nama Allah dalam Bible di Sabah diteruskan tiada masalah

Ini satu perkembangan yang bagus kerana kita mematuhi penyelesaian 10 perkara, bermakna kita boleh terbit dan cetak buku-buku kita di sini, termasuk yang menggunakan nama Allah dalam teks,

KOTA KINABALU: Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan kalimah “Allah” dalam Bible dan upacara keagamaan, kata pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu, Wilfred Madius Tangau.

Bercakap pada pemberita selepas pengagihan buku teks pengajian Bible di sekolah-sekolah di sini semalam, Tangau berkata Bible versi Bahasa Melayu, atau Al-Kitab, akan terus diedarkan untuk kegunaan penganut Kristian di negeri-negeri Borneo.

“Sekarang juga ada Bible versi Borneo yang diterbitkan melalui inisiatif Sidang Injil Borneo. Bible itu menggunakan Bahasa Melayu Borneo dan diterbitkan dan dicetak di Korea Selatan sebelum dibawa ke sini.

“Ini satu perkembangan yang bagus kerana kita mematuhi penyelesaian 10 perkara, bermakna kita boleh terbit dan cetak buku-buku kita di sini, termasuk yang menggunakan nama Allah dalam teks,” katanya, secara tidak langsung merujuk kepada Bible yang sebelum ini diimport dari Indonesia.

Kerajaan mengemukakan penyelesaian 10 perkara sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2011, untuk membolehkan Bible dalam Bahasa Melayu dan bahasa Bumiputera diedar secara bebas di Sabah dan Sarawak.

Rundingan yang membawa kepada penyelesaian itu diadakan selepas beberapa ribu buku untuk Bumiputera beragama Kristian di Sarawak dirampas Kementerian Dalam Negeri.

Bumiputera beragama Kristian, yang membentuk 64% atau hampir 2/3 masyarakat Kristian di Malaysia, menggunakan kalimah “Allah” dalam upacara mereka dan bertutur dalam bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda sejak berkurun lama. Penggunaan nama "Allah' di Sabah tiada masalah dan akan diteruskan.

Terdahulu, Tangau menyerahkan buku teks pengajian Bible kepada 18 sekolah untuk para pelajar yang mengambil mata pelajaran itu untuk SPR tahun ini.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata ia salah satu inisiatif Upko untuk membantu para pelajar mempunyai akses mudah kepada buku-buku tersebut dan mengalakkan lebih ramai pelajar mengambil mata pelajaran itu.

Beliau dukacita jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran itu masih rendah, sebahagian besarnya kerana ia dalam Bahasa Inggeris.

Sekarang ini subjek itu diajar selepas kelas dan bukannya dalam waktu persekolahan dan menyebabkan sesetengah orang mengadu ia menyusahkan kerana ia bermakna para guru terpaksa bekerja lebih masa.

“Dalam isu ini, kita akan terus mengadakan dialog dengan Kementerian Pendidikan. Bagi saya, paling utama ialah ibu bapa mesti mengalakkan para pelajar ambil subjek itu.

“Sia-sia mendesak subjek itu diajar dalam waktu persekolahan biasa kalau tiada orang mengambil subjek itu,” katanya.

Beliau berkata pada suatu ketika hanya ada 200 pelajar mengambil mata pelajaran itu di seluruh negara dan jumlah tertinggi yang pernah dicapai ialah 1,000 pelajar iaitu pada 2010.

Tangau percaya jika bilangan pelajar terus meningkat, kerajaan akan lebih terbuka untuk menerima cadangan, termasuk mengajar mata pelajaran itu dalam waktu persekolahan biasa.

Mata pelajaran pengajian Bible SPM memerlukan pengajaran minimum 2 jam setiap minggu dalam tempoh 2 tahun.

Ia mengajarkan tentang kehidupan dan ajaran Jesus Christ seperti yang didapati dalam Gospel Luke, dan perkembangan awal gereja seperti yang terkandung dalam Acts of the Apostles.

 

Comment