Berapa banyak undi sebenarnya BN,PH dan PN tambah atau hilang di PRN Melaka?
18:11 Nov 25, 2021  |  By SabahKini2
Berapa banyak undi sebenarnya BN,PH dan  PN tambah atau hilang di PRN Melaka?

Peratusan keluar mengundi 66% (berbanding 84% pada PRU-14) ini menyebabkan kekurangan jumlah keluar mengundi keseluruhan sebanyak 97,079 atau -23.6% iaitu daripada 412,008 pada PRU-14 kepada 314,929 pada PRN 2021 untuk BN, PH dan PN (PPBM, PAS, Gerakan).

Di bawah adalah keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka 2021 berbanding keputusan Pilihanraya Umum ke-14 berdasarkan data daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
 
Pada PRN Melaka, peratusan keluar mengundi adalah pada 66%, peratusan keluar mengundi ini telah dijangka dan ianya sama seperti peratusan keluar mengundi di PRN Sabah tahun lepas.

Peratusan keluar mengundi 66% (berbanding 84% pada PRU-14) ini menyebabkan kekurangan jumlah keluar mengundi keseluruhan sebanyak 97,079 atau -23.6% iaitu daripada 412,008 pada PRU-14 kepada 314,929 pada PRN 2021 untuk BN, PH dan PN (PPBM, PAS, Gerakan).

Jumlah keluar mengundi ini memberi kesan kepada semua parti.

Bagi kerusi-kerusi yang BN bertanding semula dalam PRN kali ini, undi BN adalah -18.1% lebih rendah iaitu 122,741 undi pada PRN Melaka 2021 berbanding 149,847 undi pada PRU-14.

Namun peratusan kekurangan undi BN ini adalah lebih kecil berbanding kekurangan jumlah keluar mengundi keseluruhan iaitu -23.6%.

Bagi kerusi-kerusi yang PH bertanding semula dalam PRN kali ini, undi PH adalah -34.8% lebih rendah iaitu 114,457 undi pada PRN Melaka 2021 berbanding 175,657 undi pada PRU-14.

Peratusan kekurangan undi PH ini adalah lebih besar berbanding kekurangan jumlah keluar mengundi keseluruhan iaitu -23.6%.

Bagi 8 kerusi-kerusi yang PAS bertanding semula dalam PRN kali ini, undi PAS adalah 46.2% lebih tinggi iaitu 25,967 undi pada PRN Melaka 2021 berbanding 17,758 undi pada PRU-14. Walaubagaimanapun PAS tidak berjaya menang di mana-mana kerusi.

Secara keseluruhan, PAS telah mendapat 22,252 undi pada PRN 2021 berbanding 44,537 undi pada PRU-14 yang lepas memandangkan mereka telah bertanding lebih banyak kerusi (24 kerusi) berbanding hanya 8 kerusi kali ini.

Bagi 5 kerusi-kerusi yang PPBM bertanding semula dalam PRN kali ini iaitu di Ayer Limau, Lendu, Paya Rumput, Telok Mas, dan Sungai Rambai, undi PPBM adalah -50.6% lebih rendah iaitu 14,747 undi pada PRN Melaka 2021 berbanding 29,829 undi pada PRU-14. PPBM telah hilang sejumlah 15,082 undi di kerusi-kerusi ini.
Jumlah undi keseluruhan PN (PPBM, PAS, Gerakan) pada PRN Melaka 2021 adalah 8,773 lebih rendah berbanding PRU-14. Walaupun PAS mendapat pertambahan undi sebanyak 8,209 undi di kerusi-kerusi yang mereka bertanding semula kerana sokongan pengundi PPBM, tetapi penambahan undi ini tidak dapat menampung kehilangan undi PPBM di kerusi-kerusi yang mereka bertanding semula iaitu kehilangan sebanyak 15,082 seperti di atas.

Jumlah undi yang PPBM dapat pada kali ini adalah bukannya undi baru kepada mereka namun adalah sebahagian undi yang mereka dapat ketika mereka bersama PH dahulu.

Secara keseluruhannya, BN telah mendapat 38% undi popular pada PRN Melaka kali ini iaitu pertambahan 1% daripada PRU-14, berbanding PH yang hilang 15% undi popular iaitu daripada 51% kepada 36%.

Prestasi PN pula adalah 2% kurang daripada jangkaan: PN telah mendapat 24% undi popular namun mereka sepatutnya mendapat 26% undi popular sekiranya mereka mengekalkan 11% undi popular PAS pada PRU-14 dan menarik 15% undi popular PH yang mereka dapat ketika bersama PH pada PRU-14 yang lepas.

Dengan pertambahan 1% undi popular dan pertandingan tiga penjuru, BN telah berjaya menambah 8 kerusi DUN iaitu daripada 13 kerusi kepada 21 kerusi, manakala PH telah hilang 8 kerusi, PPBM mengekalkan dua kerusi, serta PAS tidak berjaya menang apa-apa kerusi walaupun menambah undi popular di kerusi-kerusi yang mereka tandingi semula.

Kesimpulannya, berdasarkan data dan fakta seperti di atas, prestasi BN dilihat adalah bertambah baik, dan prestasi PAS kekal, manakala prestasi PH dan PPBM adalah bertambah buruk di PRN Melaka berbanding PRU-14.

Sekian.
ISHAM JALIL
25 November 2021
Comment