Perdagangan runcit RM410.5 bilion transaksi pengguna RM73.7b-Rahman
02:02 Feb 08, 2018  |  By
Perdagangan runcit RM410.5 bilion transaksi pengguna RM73.7b-Rahman

Benarkan rakyat atau pembeli tiada duit berdasarkan data peruncitan dan juga transaksi pengguna kepada perniagaan mencecah angka bilion?

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menepis kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang mengatakan rakyat tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia kukuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata bos rangkaian pasaraya itu mempunyai anggapan yang tidak betul kerana data menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara menaikkan pendapatan dan kuasa membeli rakyat.

“Prestasi ekonomi dan keadaan sesebuah negara, tidak boleh dinilai hanya daripada satu sub-sektor, seperti industri pasaraya besar sahaja.

"Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), jualan di pasaraya besar hanya mewakili 8% daripada keseluruhan perdagangan runcit di Malaysia".

 

Kenyataan Akhbar penuh Datuk Seri Rahman Dahlan seperti berikut;

7 FEBRUARI 2018

1. Saya ingin merujuk kepada beberapa laporan media, mengenai kenyataan Pengarah Urusan Pasaraya Mydin, bahawa di sebalik pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh, rakyat tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.

2. Menurutnya, ini dibuktikan berdasarkan kemerosotan jualan yang dialami pasaraya-pasaraya besar: 

3. Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), jualan di pasaraya besar hanya mewakili 8% daripada keseluruhan perdagangan runcit di Malaysia.

4. Atas sebab itu, jualan pasaraya tidak boleh dijadikan sebagai satu-satunya penanda aras prestasi perdagangan runcit di Malaysia, apatah lagi keadaan ekonomi semasa negara dan rakyat.

5. Tambahan pula, perdagangan runcit di Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dari segi nilai dan jumlah. Dari segi nilai, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan dua angka untuk tiga suku tahun berturut-turut pada tahun 2017, manakala dari sudut jumlah pula, perdagangan runcit berkembang 7.8%, 11.5%, dan 10.5%, untuk suku tahun pertama, kedua, dan ketiga bagi tahun 2017 masing-masing.

6. Perdagangan runcit pada 11 bulan pertama tahun 2017 telah meningkat daripada RM367.7 bilion kepada RM410.5 bilion untuk tempoh yang sama bagi tahun 2016, iaitu peningkatan sejumlah 11.6%.

7. Bilangan kedai bukan pengkhususan, yang termasuk pasaraya besar, telah meningkat daripada 66,920 (2016) kepada 73,848 bagi tahun 2017. Ini merupakan satu faktor mengapa pasaraya besar mengalami kadar jualan yang perlahan, ekoran lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membeli-belah.

8. Berdasarkan, laporan Bancian Ekonomi 2016 yang diterbitkan DOSM, transaksi pengguna-kepada-perniagaan (B2C), mencatat nilai sebanyak RM73.7 bilion dan ia berkembang saban tahun. Lebih ramai pengguna membeli produk, termasuk barangan runcit asas tanpa perlu keluar rumah kerana terdapat pilihan yang lebih mudah melalui internet.

9. Sebilangan pasaraya besar di Malaysia sudah pun mula menyediakan perkhidmatan membeli barangan atas talian dan menghantarnya terus ke rumah pelanggan masing-masing. Syarikat-syarikat pasaraya besar yang masih belum mengikuti trend ini akan kehilangan potensi besar yang berpunca daripada perniagaan atas talian yang memberangsangkan.

10. Data-data lain juga menyatakan yang rakyat Malaysia, secara amnya, mempunyai wang untuk dibelanjakan.

11. Sebagai contoh, perbelanjaan pelancong domestik meningkat sebanyak 10.2% pada 2016, dengan nilai dicatat sebanyak RM74.8 bilion, berbanding RM67.7 bilion pada tahun sebelumnya. Aktiviti membeli-belah terus menjadi komponen terbesar dalam perbelanjaan pelancong domestik, dengan peratusan sumbangan sebanyak 35.3%

12. Pelancong Malaysia telah membelanjakan RM33.5 bilion di luar negara pada tahun 2016, berbanding RM31.3 bilion pada tahun sebelumnya, satu peningkatan tatkala nilai matawang Ringgit menyusut.

13. Kesemua angka-angka ini adalah selari dengan kenaikan median pendapatan bulanan isi rumah, iaitu 6.2% setahun daripada RM4,585 (2014) kepada RM5,228 (2016).

14. Dan purata perbelanjaan isi rumah bulanan meningkat 5.9% setahun, iaitu daripada RM3,578 (2014) kepada RM4,033 (2016), seperti mana dilaporkan dalam Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh DOSM.

15. Perkembangan ekonomi Malaysia yang kukuh sememangnya memberi manfaat rakyat, iaitu dari segi peningkatan pendapatan, serta kuasa membeli, yang mana akhirnya akan turut meningkatkan penggunaan swasta.�

16. Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan peratusan sumbangan kepada KDNK sejumlah 53.2%, atau RM589.7 bilion.

17. Sekali lagi ingin saya ingatkan, prestasi ekonomi dan keadaan sesebuah negara, tidak boleh dinilai hanya daripada satu sub-sektor, seperti industri pasaraya besar sahaja.

18. Tidak dinafikan, KDNK mempunyai had-had tertentu dalam mengukur taraf kesejahteraan hidup rakyat dan bukan penanda aras yang sempurna untuk, tetapi ia sememangnya berkait rapat dengan ukuran kualitatif kemakmuran sesebuah negara. Dengan pertumbuhan KDNK yang meningkat, lebih banyak peluang pekerjaan dicipta, pendapatan isi rumah meningkat, dan seterusnya rakyat akan mempunyai wang untuk dibelanjakan.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi

 

Comment