Kekalkan perpaduan kaum di negeri Sabah- Tangau
20:02 Feb 09, 2018  |  By
Kekalkan perpaduan kaum di negeri Sabah- Tangau

Walkabout di Tuaran: Madius Tangau makan buah tarap di lokasi program Walkabout

"Saya gembira kerana kita dapat meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini bersama-sama dengan rakan-rakan kita yang berbangsa Cina, dalam suasana yang cukup harmoni," - Tangau

TUARAN: Perpaduan yang kuat dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini umumnya, dan juga negeri ini khususnya, haruslah sentiasa dipelihara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, hal ini bunyinya mungkin kedengaran agak klise namun memeliharanya adalah amat penting bagi memastikan keharmonian kaum sentiasa terjaga.

"Kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk ancaman samada datangnya dari dalam mahupun dari luar, yang berpotensi menggugat keharmonian antara kaum setelah sekian lama ia menjadi tunggak utama perpaduan rakyat negara ini," katanya.


Bercakap selepas mengadakan program 'walkabout' tahunan sempena Tahun Baru Cina di sini Jumaat, Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran itu meluahkan rasa gembira beliau kerana mendapati keharmonian yang unik serta tahap toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat di sini masih terus kekal terpelihara.

"Saya gembira kerana kita dapat meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini bersama-sama dengan rakan-rakan kita yang berbangsa Cina, dalam suasana yang cukup harmoni," katanya.

Bersama dengan Pemangku Presiden UPKO di program itu ialah Ketua PBS Bahagian Tamparuli merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Datuk Jahid Jahim serta ramai lagi pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain dan juga pemimpin masyarakat.

Comment