Di bawah BN Sabah terus maju makmur dan sejahtera- Musa Aman
17:02 Feb 11, 2018  |  By SabahKini2
Di bawah BN Sabah terus maju makmur dan sejahtera- Musa Aman

Hasil perpaduan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi, selain usaha berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri.

KOTA KINABALU : Sabah di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus pesat membangun dalam pelbagai sektor dan membawa kemakmuran serta kesejahteraan kepada rakyat, kata Ketua Menterinya, Tan Sri Musa Aman.

Menurutnya, ia adalah hasil perpaduan rakyat, kestabilan politik dan ekonomi, selain usaha berterusan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri.

Sambil memberi contoh dasar Hala Tuju Negeri Sabah, beliau berkata, tumpuan diberi kepada pembangunan modal insan, selain sektor pelancongan, pertanian dan pembuatan.

“Kini, banyak manfaat pembangunan yang kita nikmati, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak dijalankan, di samping penubuhan pelbagai institusi pengajian tinggi, pusat kemahiran dan hab pendidikan,” katanya dalam amanat bersempena Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Sabah hari ini.

Teks amanatnya dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Dalam pada itu, Musa berkata, penganjuran majlis seperti hari ini dapat mengeratkan semangat persaudaraan dan rasa kekitaan dalam kalangan warga Sabah di Semenanjung.

Lebih 500 warga Sabah yang kebanyakannya kakitangan kerajaan berkhidmat di Semenanjung menghadiri majlis itu

Sumber asal:FMT

1 Comment