Kerajaan UAE Akan Bantu Selesai Kes Jurutera Malaysia
02:02 Feb 13, 2018  |  By SabahKini2
Kerajaan UAE Akan Bantu Selesai Kes Jurutera Malaysia

Jurutera Malaysia masih ditahan di Dubai sejak April 2017. Kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa diberi keutamaan

PUTRAJAYA: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan membantu menyelesaikan kes jurutera sivil warga Malaysia, Richard Lau, yang ditahan di Dubai sejak 27 April 2017 kerana disyaki mencuri wang gaji.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perundangan UAE Sultan Saeed Al Badi kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu pertemuan di Dubai hari ini (12 Feb).

Menurut Wisma Putra, Anifah turut dijangka melakukan lawatan konsular ke atas Lau di Penjara Pusat, Ras Al Khaimah pada Rabu ini (14 Feb).

"Pertemuan tersebut akan diatur oleh Kementerian Luar Negeri UAE dan Kementerian Perundangan UAE," menurut kenyataan Wisma Putra, di sini hari ini.

Kenyataan penuh media KONSULAT JENERAL MALAYSIA, DUBAI UNITED ARAB EMIRATES

YB MENTERI LUAR NEGERI, DATO’ SRI ANIFAH HAJI AMAN MENGADAKAN PERBINCANGAN BERSAMA TYT SULTAN SAEED AL BADI, MENTERI PERUNDANGAN UAE BERHUBUNG KES RICHARD LAU DI DUBAI, UNITED ARAB EMIRATES

YB Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Anifah Haji Aman pada 12 Februari 2018 telah mengadakan perbincangan bersama TYT Sultan Saeed Al Badi, Menteri Perundangan UAE di Hotel Al Naseem Jumeirah, Dubai. Kehadiran YB Menteri Luar ke perbincangan tersebut diiringi oleh TYT Duta Besar Malaysia ke UAE, Konsul Jeneral Malaysia ke Dubai serta pegawai-pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai. Pegawai-pegawai tertinggi dari Kementerian Perundangan UAE turut terlibat dalam perbincangan selama 30 minit tersebut.

Tujuan YB Menteri Luar berjumpa dengan TYT Menteri Perundangan UAE adalah untuk memohon bantuan dan kerjasama kerajaan UAE dalam menyelesaikan dengan segera isu berkaitan penahanan Encik Richard Lau. Semasa sesi perbincangan berkenaan, TYT Menteri Perundangan UAE telah memaklumkan bahawa Kerajaan UAE akan membantu bagi menyelesaikan kes berkenaan yang berlarutan selama 10 bulan mengikut lunas undang-undang UAE. YB Menteri Luar Negeri turut merakamkan penghargaan di atas komitmen dan kesediaan Kerajaan UAE dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

Di samping itu, YB Dato’ Sri Anifah Aman dijangka akan melakukan Lawatan Konsular ke atas En. Richard Laudi Penjara Pusat, Ras Al Khaimah pada 14 Februari 2018. Pertemuan tersebut akan diaturkan oleh Kementerian Luar Negeri UAE dan Kementerian Perundangan UAE.

Pada ketika ini, kes tahanan reman Richard Lau masih lagi berlanjutan sejak 27 April 2017. Siasatan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan difahamkan pihak pendakwa raya sedang mengumpul bukti-bukti transaksi di dalam akaun milik Richard Lau.


Disediakan oleh:

KONSULAT JENERAL MALAYSIA, DUBAI
UNITED ARAB EMIRATES
12 FEBRUARI 2018

Comment