RM66 juta rumah PPRT dan baik pulih di Sabah tiada terbengkalai kata Menteri
01:02 Feb 14, 2018  |  By SabahKini2
RM66 juta rumah PPRT dan baik pulih di Sabah tiada terbengkalai kata Menteri

Sepanjang tahun 2014 hingga tahun lalu sejumlah RM321.5 juta diperuntukan bagi projek ini yang mana 3,936 buah adalah pembinaan rumah baharu manakala 8,616 pula untuk membaik pulih rumah.

PUTATAN - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM66 juta bagi membina rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membaik pulih rumah rakyat di negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah peruntukan berkenaan sebanyak 253 buah rumah PPRT akan dibina manakala 3,259 buah rumah pula akan dibaik pulih.

“Sepanjang tahun 2014 hingga tahun lalu sejumlah RM321.5 juta diperuntukan bagi projek ini yang mana 3,936 buah adalah pembinaan rumah baharu manakala 8,616 pula untuk membaik pulih rumah.

“Peruntukan ini memberi manfaat kepada 43,080 rakyat Sabah yang memerlukan bantuan memiliki tempat tinggal yang selesa dan sempurna,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Unit PPRT di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata tiada sebarang projek pembinaan Program Perumahan Rakyat termiskin (PPRT) yang terbengkalai di Sabah. 

Menurut beliau, kementeriannya menerusi jawatankuasa bersama dengan kerajaan negeri sentiasa memastikan segala projek perumahan diselesaikan mengikut masa yang ditetapkan demi manfaat rakyat.

"Pembinaan PRRT di Sabah, tidak ada yang terbengkalai kerana kita menjalankan pemantauan rapi kepada setiap projek pembinaan agar dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

'Malah, kerjasama menerusi jawatankuasa bersama, tiada sebab bagi kerajaan negeri tidak mengetahui mengenai pembinaan projek yang bermasalah atau terbengkalai kerana setiap projek yang dilaksanakan telah dibincangkan bersama serta pemantauan juga dibuat secara berterusan," katanya.

Turut hadir ialah Ahli Perlimen Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh dan Ketua UMNO Bahagian Penampang, Senator Datuk John Ambrose.

Comment