Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) - (UN-Habitat) yang jemput kerana syarat penganjur- Menteri Luar
01:02 Feb 16, 2018  |  By SabahKini2
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) - (UN-Habitat) yang jemput kerana syarat penganjur- Menteri Luar

Penyertaan delegasi Israel adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat)

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menafikan Malaysia mengundang diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Anifah, penyertaan delegasi Israel adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) yang merupakan penganjur forum berkenaan.

Justeru, Anifah menegaskan, surat jemputan untuk delegasi Israel itu tidak ditandatangani mana-mana pegawai Malaysia, sebaliknya oleh pengarah eksekutif UN-Habitat.

Katanya langkah itu selaras dengan Perjanjian Negara Penganjur (Host Country Agreement) yang ditandatangani di antara organisasi berkenaan dan Malaysia.

"Adalah ditekankan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

"Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran forum ini adalah tidak timbul sama sekali.

"Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
YB DATO’ SRI ANIFAH AMAN MENGENAI PENYERTAAN DELEGASI ISRAEL KE FORUM BANDAR SEDUNIA KE-9 DI KUALA LUMPUR

7 - 13 FEBRUARI 2018

Terdapat percubaan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menagih keuntungan politik daripada penyertaan Israel dalam Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9), yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari 2018.

2. Kementerian Luar Negeri ingin menjelaskan bahawa penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui agensinya Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

3. Surat jemputan kepada Israel, yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat, adalah selaras dengan Host Country Agreement yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia. Artikel III dari Perjanjian tersebut diantaranya menyatakan, bahawa penyertaan dalam Forum itu dibuka antara lainnya kepada keseluruh keanggotaan PBB dan mana-mana Agensi Khususnya (Specialized Agencies). Host Country Agreement ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada.

4. Adalah ditekankan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia. Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran Forum ini adalah tidak timbul sama sekali. Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya.

5. Harus diingat bahawa pelbagai pihak telah menekankan bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya. Forum ini telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia mempromosi, menyuara dan melaksanakan New Urban Agenda. Ia juga menyaksikan penyertaan lebih daripada 25,000 orang, dengan 69 negara diwakili di peringkat Menteri. Semua rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan Forum yang berprestij dan penting ini.

DATO’ SRI ANIFAH AMAN
Menteri Luar Negeri
15 Februari 2018

 

 

Comment