Cukuplah khemah besar, tiada lagi PH Plus Warisan kata Shafie Warisan
11:06 Jun 05, 2022  |  By SabahKini2
Cukuplah khemah besar, tiada lagi PH Plus Warisan kata Shafie Warisan

Sebelum ini Shafie mahu dicadangkan sebagai PM. Namun gagal. Kini Shafie kata masuk khemah besar PH, Dr M cukuplah. Yang pasti tiada lagi ‘PH Plus Warisan’. Mungkin berubah jika Shafie calon PM PH?

Warisan menolak cadangan khemah besar  Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) kata presidennya, Shafie Apdal.

Shafie berkata, khemah besar bukan lagi penyelesaian terbaik pada masa ini kerana negara ini memerlukan satu kepimpinan mahupun pemerintahan yang boleh meletakkan negara pada landasan sepatutnya.

“Saya dah nyatakan, kita tak ada nak khemah besar sebagai penyelesaian. Berapa banyak khemah sana, sini dan berapa khemah sudah saya masuk…saya sudah masuk khemah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), cukuplah.

“Nak buat khemah lain lagi, rumah kita pun khemah sudah dicabut. Kita sukar penuhi selera semua pihak dan sebab itu saya pastikan Warisan diperkuat dan diperkukuhkan,” katanya 

Media melaporkan perang mulut antara Anwar, Dr Mahathir dan pemimpin PH mengenai punca kerajaan PH tumbang akibat peletakan jawatan Tun Dr Mahathir sebagai PM dan langkah Sheraton. 

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad enggan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang bawah pendekatan “khemah besar” untuk menumbangkan BN.

Menurutnya pemimpin pembangkang “tidak lurus” menjadi sebab mengapa Pejuang menolak konsep khemah besar pada hari ini.

Ini kerana katanya, dua pemimpin berkenaan – Anwar dan Muhyiddin – mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Berhubung kenyataan PH Sabah mendakwa Warisan semakin menjauhkan diri, Shafie berkata, mereka bebas memberi pandangan, namun menyatakan tidak akan ada lagi ‘PH Plus Warisan’.

Shafie sebelum ini bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri dan percaya selagi Anwar calon PM, Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana. 

 

4 Comments