Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kukuhkan Muhibah Rakyat Sabah
01:02 Feb 17, 2018  |  By SabahKini2
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kukuhkan Muhibah Rakyat Sabah

Faktor kesatuan dan kesepakatan rakyat ini penting kepada usaha kerajaan membangunkan ekonomi dan negeri ini

SANDAKAN, 16 Feb- Tradisi penganjuran rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang dikunjungi pelbagai suku kaum dan agama memperkukuhkan lagi perasaan muhibah rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata ini satu petanda baik menerusi kesatuan dan kesepakatan rakyat penting dalam membangunkan negeri ini dan negara.



"Tetamu yang hadir pada rumah terbuka terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama mendatangkan perasaan kekitaan dan muhibah satu sama lain.

"Faktor kesatuan dan kesepakatan rakyat ini penting kepada usaha kerajaan membangunkan ekonomi dan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas berkunjung ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Barisan Nasional Parlimen Sandakan di sini, hari ini.

Justeru, Musa berkata beliau gembira berkunjung ke rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baharu Cina kerana melihat tetamu yang hadir, datang daripada pelbagai kaum dan agama.

Beliau turut meluangkan masa mengunjungi beberapa rumah terbuka Tahun Baharu Cina di daerah ini antaranya anjuran Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Sabah Tan Sri Andrew Liew, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Timbalan Presiden PBS Datuk Thien Fui Yun.

Turut berkunjung ke rumah terbuka itu adalah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

-- BERNAMA

Comment