UPKO bantu MyKad keluarga Voo dan Yong
16:02 Feb 21, 2018  |  By SabahKini2
UPKO bantu MyKad keluarga Voo dan Yong

UPKO bantu MyKad keluarga Voo dan Yong

keluarga Voo dan Yong ini dapat mengucapkan rasa terima kasih mereka secara peribadi kepada YAB Timbalan Perdana Menteri kerana membantu menyelesaikan kes keluarga mereka

KOTA KINABALU: Tahun Baru Cina kali ini akan kekal selama-lamanya dalam kenangan dua keluarga Cina dari Tamparuli ini.

Kecelaruan isu kewarganegaraan yang sekian lama telah membelenggu kedua-dua keluarga tersebut akan dapat diselesaikan tak lama lagi, setelah perkara itu dibawa ke perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri, oleh Pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Apa yang menjadikannya lebih istimewa ialah, apabila keluarga Voo dan Yong ini dapat mengucapkan rasa terima kasih mereka secara peribadi kepada YAB Timbalan Perdana Menteri, sejurus sebelum mesyuarat Barisan Nasional Negeri Sabah diadakan pada malam Isnin di Le Meridien Hotel di sini.



Pertemuan ringkas itu diatur oleh Tangau yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

Tangau mengambil serius perkara itu selepas mendengar rayuan daripada kedua-dua keluarga yang pada hakikatnya merupakan warga sebenar negara ini tetapi disebabkan masalah-masalah teknikal telah mengakibatkan permohonan MyKad anak-anak mereka ditolak.

Mereka telah mencuba hampir segala-galanya sejak tahun 2003, namun masih tidak berjaya.

Tangau kemudian dengan segera menulis surat kepada Zahid untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh keluarga Voo dan Yong itu.

Respon yang diterima susulan surat beliau itu sangat baik serta positif dan kini menanti tindakan selanjutnya daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.

Ketua cawangan UPKO Bukit Perahu, Ricky Chin yang bertanggungjawab membangkitkan perkara itu kepada perhatian Tangau berkata, perkembangan yang positif ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional benar-benar mengambil berat berkenaan masalah yang dihadapi rakyat.

Chin yang mengiringi keluarga untuk bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri berkata, Tangau juga telah membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin bagi semua orang di kawasan yang diwakilinya iaitu Parlimen Tuaran, tanpa mengira bangsa dan agama.

Keluarga Voo menghadapi masalah untuk mendapatkan MyKad anaknya Voo Xiao Yun, 21 kerana pendaftaran kelahiran yang lewat. Walau bagaimanapun, dua lagi adik perempuannya, adalah pemegang sah MyKad.

Bagi adik beradik Yong Son Leong dan Yong Kah Leong yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun pula, permohonan MyKad mereka ditolak kerana masalah teknikal berkaitan perkahwinan orang tua mereka.



Hakikat bahawa kedua-dua ibu bapa mereka telah meninggal dunia, tambah menyulitkan keadaan. Kedua beradik itu kini dijaga oleh Yong Chiap Fah, 55, yang merupakan bapa saudara mereka.

Semasa sesi bertemu rakyat di Kampung Tomis Jaya di Kiulu, Tangau pernah melahirkan rasa kecewa tentang mengapa perkara-perkara seperti itu masih boleh berlaku.

"Tetapi kita bernasib baik kerana kita mempunyai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa mendengar rintihan rakyat," katanya.

Beliau yakin BN tidak akan mengabaikan masalah yang dihadapi oleh akar umbi dan berusaha menyelesaikannya.

Comment