Musa umum Kiulu sebagai daerah kecil terbaharu Sabah
03:03 Mar 07, 2018  |  By SabahKini2
Musa umum Kiulu sebagai daerah kecil terbaharu Sabah

Permintaan untuk menjadikan Kiulu sebagai daerah kecil telah lama dan ia sudah semestinya ditunggu-tunggu oleh semua rakyat di sini.

TUARAN: Kiulu yang terletak kira-kira 60 km dari pusat bandar Kota Kinabalu kini menjadi daerah kecil terbaharu Sabah.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman hari ini.

“Permintaan untuk menjadikan Kiulu sebagai daerah kecil telah lama dan ia sudah semestinya ditunggu-tunggu oleh semua rakyat di sini…dan hari ini sudah menjadi kenyataan untuk menjadikan Kiulu sebagai daerah kecil,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah di Kiulu.

Sehubungan itu, Musa mengarahkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman melaksanakan segala proses berkaitan.

Pada majlis itu Musa turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk menaik taraf jalan yang menghubungkan Kampung Pahu dan Kampung Wasai.

Beliau berkata kelulusan peruntukan itu adalah hasil kerjasama kuat semua pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Tuaran.

“Jika tiada kerjasama pemimpin BN di sini dan juga kerjasama dengan saya sebagai ketua menteri, maka semua peruntukan tidak dapat disalurkan. Sebagai kerajaan kita ada kuasa untuk membantu rakyat,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau yang juga ahli parlimen Tuaran; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin; Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Hajiji, Sukarti serta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong.

-FMT

Comment