BN beri lebih 1000 hak milik tanah di Kiulu tapi pemimpin Warisan sibuk bina Resort
03:03 Mar 07, 2018  |  By SabahKini2
BN beri lebih 1000 hak milik tanah di Kiulu tapi pemimpin Warisan sibuk bina Resort

Musa (3 dari kanan, topi merah) bersama Wilfred (kanan) dan Joniston (4 dari kanan, berkaca mata hitam) melawat tamu.

BN luluskan hak milik tanah 4 perkampungan iaitu Lokos, Nulu, Tiong Ratau dan Tiong Simpodon Kiulu tapi pemimpin Warisan sibuk bina Resort pelancongan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini menyerahkan hak milik tanah adat kepada lebih 1,000 warga Kiulu dalam satu majlis simbolik di pekan tebing sungai itu, yang terletak kira-kira 50km dari ibu negeri.

Hak milik tanah adat itu untuk bidang-bidang Tanah Anak Negeri (NCR) milik penduduk dari 4 perkampungan iaitu Lokos, Nulu, Tiong Ratau dan Tiong Simpodon.

Pemberian 1,041 hak milik tanah adat itu boleh dilakukan melalui program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah yang meninjau tanah-tanah adat yang diduduki komuniti itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kerajaan tidak mengambil tanah milik orang kampung tetapi sebaliknya, kami beri hak milik pada mereka yang kami janjikan.

“Beginilah cara kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja. Pujian harus diberikan kepada Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai dan (bekas Adun Kiulu) Datuk Louis Rampas yang konsisten membawa perkara ini,” kata Musa.

Musa berkata kerajaan tidak mengambil tanah orang kampung tetapi sebaliknya memberikan hak milik pada mereka yang dijanjikan.

Sementara itu, Musa juga meluluskan naik taraf Kiulu ke status daerah kecil dan pelantikan seorang ketua daerah mewakili masyarakat Bumiputra di Kiulu.

“Saya ditanya tentang perkara ini sebelum ini dan hari ini menjadi kenyataan. Begitu juga jawatan ketua daerah yang kosong sebelum ini. Itu juga saya luluskan,” kata Musa dalam ucapannya semasa menyerahkan hak milik tanah adat.

Baki bidang tanah NCR

Di Kiulu, sejumlah 2,141 bidang tanah ditinjau oleh 29 pasukan yang ditubuhkan oleh JTU sejak Jun 2015 hingga Januari tahun lepas.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri, baki bidang lain sedang menunggu hak milik tanah dikeluarkan oleh JTU.

RM20 juta diperuntukkan kepada JTU oleh kerajaan negeri untuk menjalankan tinjauan tanah-tanah NCR dan tanah komunal bagi tahun ini sahaja.

Dalam ucapan terima kasihnya kepada kerajaan, Bangkuai berkata rakyat sudah lama menantikan pemberian ini.

“Tanah adat ini bersamaan kehidupan kami di Kiulu. Kami sudah lama menunggu dan berasa sedih kerana ada yang sudah meninggal dunia dan tidak dapat melihat hak milik tanah ini.

Bangkuai_small

Bangkuai: Sekarang tidak lagi boleh dipertikaikan tanah ini milik kami. Terima kasih kepada perdana menteri dan ketua menteri.

“Jika sebelum ini kami rasa seperti merempat kerana tiada hak milik, sekarang tidak lagi boleh dipertikaikan tanah ini milik kami. Terima kasih kepada perdana menteri dan ketua menteri kerana sensitif akan keperluan kami,” katanya.

Bangkuai dalam ucapannya memohon penubuhan sebuah urusetia kecil yang terdiri daripada pelbagai jabatan kerajaan.

Beliau berkata urusetia itu boleh berfungsi sebagai satu pusat pentadbiran yang antara lain mengandungi agensi pertanian, ternakan dan pendaftaran negara.

“Kiulu ini agak besar, ada 106 kampung tersebar di tanah seluas 250km, dan kami ada penduduk seramai lebih 50,000 orang sekarang.

“Urusetia kecil ini pasti membantu orang kampung supaya mereka tidak perlu berjalan jauh,” kata Bangkuai.

Musa memberikan lampu hijau untuk pembinaan urusetia di Kiulu itu selepas ia menjadi daerah kecil dan mengumumkan sebanyak RM200,000 diluluskan untuk menaik taraf jalan raya Pahu-Wasai.

Rangkaian jalan raya

Beliau berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan kawasan itu sebagai tarikan pelancong serta kemajuan ekonomi yang rancak di kawasan itu yang semakin membangun, termasuk pembinaan laluan baharu Telipok-Kiulu-Pahu-Ranau yang sedang berjalan.

Bangkuai berkata rangkaian jalan raya dan jalan Tebobon-Gonipis bernilai RM45 juta apabila siap dibina akan mengubah lanskap pembangunan di Kiulu.

“Rangkaian ini akan sama sekali mengubah kawasan ini. Sudah ada pelabur datang menemui kami dan tanya apakah ada bidang-bidang tanah untuk membina hotel-hotel, restoran-restoran dan penginapan.

“Inilah yang saya maksudkan dengan mengubah lanskap. Perubahan ini akan menghasilkan pekerjaan. Saya berharap akan tercapai dalam 3-4 tahun akan datang.

“Pengumuman oleh ketua menteri pada belanjawan negeri tahun lepas iaitu Kiulu akan menjadi perintis pembangunan pelancongan desa akan memperbaiki kedudukan ekonomi rakyat dan prasarana di Kiulu,” katanya.

Sementara itu di Kiulu pembangkang seperti PKR dan Warisan hanya berjanji kosong. Malah ada pemimpin Warisan seperti Jo Anna Henley Rampas yang dikatakan sebagai bakal calon PRU Kiulu  lebih sibuk membina Resort atau Inap Desa di tanah sendiri berbanding berbakti kepada rakyat. Belum jadi wakil rakyat lagi sudah sibuk cari wang dan meminjam wang dari beberapa kontraktor di Kiulu termasuk Ketua Wira Warisan Azis Jamman. 

 

1 Comment