PPBM akan bubar jika gagal beri maklumbalas 30 hari
12:03 Mar 10, 2018  |  By SabahKini2
PPBM akan bubar jika gagal beri maklumbalas 30 hari

Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah mengeluarkan satu notis kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengkehendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan itu.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata notis itu, yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Februari lalu, diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh.

Beliau berkata, notis itu dikeluarkan berikutan aduan yang dikemukakan oleh anggota-anggota PPBM kepada pihak ROS dan jabatan itu memerlukan maklumat tersebut bagi melengkapkan siasatan mengenainya.

“Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.

Surayati berkata, walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14 (3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi PPBM memberikan maklum balas, namun ROS memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari kepada PPBM memberikan maklum balas dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang diminta.

“Sekiranya pihak PPBM gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta sebagaimana notis yang telah dikeluarkan menurut Seksyen 14 (2), tindakan susulan daripada ROS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas PPBM,” katanya. – Bernama

 

3 Comments