Pemergian Siringan kehilangan besar bagi UPKO dan Sabah - Tangau
22:03 Mar 21, 2018  |  By SabahKini2
Pemergian Siringan kehilangan besar bagi UPKO dan Sabah - Tangau

Tangau berkata Siringan, yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri meletak penanda aras yang tinggi dengan menunjukkan teladan yang baik kepada pemimpin UPKO lain bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu per

KOTA KINABALU, 21 Mac - Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pemergian pemangku Timbalan Presiden UPKO Datuk Siringan Gubat merupakan kehilangan besar kepada parti oleh kerana mendiang juga anggota kabinet negeri Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata beliau amat terkejut mendengar berita kematian Siringan, apatah lagi baru semalam beliau bercakap dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Paginatan itu.

"Saya berbual dengannya menerusi telefon sebelum makan tengah hari semalam. Saya bertanyakan khabar dan tentang kesihatan beliau. Menurut beliau, semuanya baik-baik saja.

"(Sehinggalah) malam semalam, selepas menjalani hari yang begitu sibuk, saya perasan ada panggilan tidak dijawab daripada anak lelakinya...apabila saya telefon kembali, dia (anak Siringan) memaklumkan berita itu kepada saya. Saya berasa sungguh sedih," kata Tangau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tangau berkata Siringan, yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri meletak penanda aras yang tinggi dengan menunjukkan teladan yang baik kepada pemimpin UPKO lain bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu perlu menjadi pengikut yang baik.

"Pada pilihan raya umum 1999, Siringan sudah pun menawarkan kerusinya (kerusi parlimen Ranau, ketika itu dikenali sebagai Kinabalu) kepada Presiden UPKO ketika itu, Tan Sri Bernard Dompok untuk bertanding (di bawah Parti Demokratik Sabah - PDS), tetapi ditolak," jelas beliau.

Dompok kalah dalam pilihan raya itu, di mana beliau bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Moyog, manakala Siringan dan Tan Sri Wences Anggang merupakan dua daripada 12 calon daripada PDS yang menang.

Ketika PDS dijenamakan semula kepada UPKO, Siringan meminta Dompok supaya bertanding bagi kerusi Parlimen Kinabalu, dan beliau menang, lalu membuka laluan bagi Dompok untuk menjadi menteri dalam kabinet Persekutuan.

Siringan turut memberi laluan kepada Datuk Ewon Ebin untuk bertanding bagi kerusi DUN Paginatan, sementara Siringan berehat sebentar daripada politik.

Hanya pada 2013, Siringan kembali untuk bertanding di DUN Paginatan berikutan permintaan daripada kepimpinan parti, yang membawa kepada pelantikannya sebagai menteri dalam kabinet Sabah.

"Beliau tidak meminta, beliau tidak pernah melobi. Beliau benar-benar mengabdikan segenap tenaganya kepada UPKO dan beliau terus menabur bakti sungguhpun kurang sihat. Walaupun tutur katanya lembut, beliau seorang yang tegas dan tetap pendirian," kata Tangau.

Tangau berkata Siringan akan sentiasa dikenang oleh parti dan terus dihormati serta dirasai kehilangannya.

Siringan meninggal dunia pada usia 68 tahun akibat komplikasi jantung pada 10.57 malam semalam semasa mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

-- BERNAMA

Comment