Kementerian Luar anjur karnival untuk rakyat di Kimanis
20:03 Mar 30, 2018  |  By SabahKini2
Kementerian Luar anjur karnival untuk rakyat di Kimanis

Karnival ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Kimanis yang terdiri dari dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut

PUTRAJAYA - Kementerian Luar dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dan Jabatan Tenaga Kerja akan melangsungkan Karnival Kerjaya, Seranta dan Diplomasi Awam Sempena Sayang Kimanis Pusat Tranformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Tapak Tamu Bongawan, Sabah esok.

Menerusi satu kenyataan hari ini, program Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk menyatukan semua perkhidmatan agensi kerajaan dalam satu program bertujuan merakyatkan perkhidmatan awam. 

“Karnival ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Kimanis yang terdiri dari dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut,” katanya. 

Acara perasmian program tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Membakut, Datuk Mohd. Ariffin Mohd. Arif dan Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah merangkap ADUN Bongawan, Datuk Mohamad Alamin.

Karnival tersebut dijangka menghimpunkan 25 buah agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri yang akan menawarkan 50 perkhidmatan, inisiatif, produk dan program agensi kerajaan termasuk tiga buah kenderaan bergerak.  

Antara pengisian karnival tersebut ialah penyediaan perkhidmatan konsular oleh Kementerian Luar, semakan Wang Tak Dituntut, Jualan Sentuhan Rakyat, Pemeriksaan BR1M, ujian Pap Smear secara percuma, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, kempen derma darah, pendaftaran lesen Kementerian Kewangan, perkhidmatan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, perkhidmatan Kaunter Telekom, PR1MA serta Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar. 

Selain itu, turut diadakan Khidmat Kaunter Imigresen, semakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia, perkhidmatan bergerak oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Tabung Haji, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah (ICU-SDO) dan Pusat Zakat Sabah.

Karnival itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, program pertukaran topi keledar percuma, jualan barangan dapur bersubsidi, pameran kereta klasik dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik serta makanan bungkusan kepada golongan yang memerlukan. 

Selain itu pengunjung akan turut dihiburkan dengan persembahan artis serta selebriti tempatan seperti Dayang Ceria Megastar, Farahdhiya, Ebi Kornelis dan Aunty Patrin.

Orang ramai adalah dijemput hadir untuk mengambil peluang keemasan itu untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan serta hadiah-hadiah yang ditawarkan dan bersama-sama merasakan kemeriahan karnival berkenaan. 

Comment