Tak salah buat pilihan raya negeri dengan 60 kerusi DUN, kata peguam Sabah
21:03 Mar 30, 2018  |  By SabahKini2
Tak salah buat pilihan raya negeri dengan 60 kerusi DUN, kata peguam Sabah

Presiden Pertubuhan Undang-undang Sabah, Brenndon Keith Soh berkata pengecualian 13 kerusi DUN tidak akan menyebabkan pilihan raya negeri tidak sah bagi 60 kerusi sedia ada pada PRU14.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Undang-undang Sabah (SLS) berkata, pilihan raya negeri boleh diteruskan di Sabah, walaupun 13 kerusi negeri baru yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibentangkan di Parlimen.

Presidennya, Brenndon Keith Soh berkata pihaknya percaya tindakan tidak memasukkan 13 kerusi itu tidak akan menyebabkan pilihan raya negeri tidak sah bagi 60 kerusi sedia ada pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pengundian sah bagi kerusi baru itu, laporannya mengenai kerusi itu perlu diluluskan dengan majoriti mudah di Parlimen terlebih dahulu, disusuli Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan arahan untuk menguatkuasakannya.

“SPR mempunyai 2 tahun untuk menjalankan kajian itu bermula Ogos 2016, apabila kerusi itu diwartakan (oleh Sabah), dan laporan itu perlu diserahkan kepada perdana menteri menjelang Ogos 2018,” katanya kepada FMT.

“Kita hanya boleh anggap proses itu masih berterusan.

“Yang penting semua proses perlembagaan perlu diselesaikan terlebih dahulu dan diakhiri arahan Agong. Jika tidak, pilihan raya negeri tidak boleh diadakan untuk 13 kerusi baru itu.”

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah, Darell Leiking berkata pilihan raya negeri mungkin tidak diadakan serentak dengan pengundian kawasan Parlimen pada PRU14 selepas sidang Parlimen penggal ini gagal membentangkan kerusi baru itu.

Katanya, kerusi baru itu hanya akan dibentangkan selepas pengundian kerusi Parlimen, jika PRU14 dimenangi Barisan Nasional (BN) dan disusuli pilihan raya negeri selepas itu.

“Ia boleh dilakukan kerana penggal pemerintahan kerajaan Sabah sedia ada akan tamat pada pertengahan Mei,” katanya.

PRU14 yang perlu diadakan menjelang Ogos ini, dijangka berlangsung pada April atau Mei ini.

Kelmarin, Setiausaha Kerajaan Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dalam satu kenyataan berkata, kerusi DUN baru itu akan dibentangkan selepas SPR selesai menjalankan kajian semula persempadanan kawasan Parlimen di Sabah.

Leiking berkata, Sukarti mungkin membangkitkan isu kerusi persekutuan sebagai “tambahan” memandangkan kerusi DUN baru gagal dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, penjelasan Sukarti mengelirukan kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan laporan SPR sudah selesai dan diserahkan kepada perdana menteri pada 21 Februari 2017.

Azalina berkata demikian tahun lalu bagi menjawab pertanyaan Leiking, ahli Parlimen Penampang itu di Dewan Rakyat.

Yong berkata, Tan Sri Musa Aman perlu menjelaskan perkara itu selepas Azalina memberitahu laporan itu sudah dibincangkan antara ketua menteri Sabah itu dan Najib.

 

Sumber-  FMT

Comment