Wangsa Maju Bergolak, UMNO atau MCA Akan di Tentukan Pengerusi BN
19:04 Apr 14, 2018  |  By SabahKini2
Wangsa Maju Bergolak, UMNO atau MCA Akan di Tentukan Pengerusi BN

Keputusan belum dimuktamadkan tetapi usaha-usaha ke arah itu sedang di dalam proses. Marah-marah sayang BN pasti selesai

BAGAN DATUK: Kepimpinan Pusat Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon yang akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha untuk memuktamadkan calon kedua-dua kerusi itu sedang dilakukan.

“Keputusan belum dimuktamadkan tetapi usaha-usaha ke arah itu sedang di dalam proses,” katanya apabila ditanya berkenaan adakah benar berlaku pertukaran calon komponenen BN di Parlimen Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.

Menurut Ahmad Zahid, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memutuskan perkara tersebut dalam masa terdekat dan kepimpinan daripada semua parti komponen BN perlu akur demi kebaikan parti.

Beliau pada masa sama turut mengakui MCA memohon supaya kerusi Wangsa Maju dipulangkan kembali kepada mereka.

“Kita ketahui dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi itu telah dipinjamkan kepada UMNO dan MCA memohon supaya pinjaman itu dibayar kembali iaitu dengan memulangkan kerusi berkenaan kepada MCA,” katanya.



Beliau juga mengakui telah ditemui oleh kepimpinan UMNO Wangsa Maju yang meluahkan rasa kecewa mereka terhadap keputusan untuk menyerahkan semula kerusi itu kepada MCA.

“Saya ditemui oleh AJK UMNO Bahagian Wangsa Maju dan juga semua Pengerusi-pengerusi PDM Wangsa Maju dan mereka telah meluahkan perasaan ketidakpuasan hati terhadap keputusan yang dibuat untuk menyerahkan semula kerusi itu kepada MCA.

“Saya telah memberikan nasihat kepada kumpulan yang telah temui saya pagi semalam itu bahawa kita harus menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh Pengerusi BN. Kita harap jangan ada tindakan terburu-buru yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Semangat sepasukan sebagai ahli dan pemimpin BN hendaklah diterjemahkan supaya kepentingan BN dapat diutamakan. Ini bukan bererti bahawa kita tidak menghormati permintaan daripada UMNO Bahagian Wangsa Maju, tetapi kita serahkan sepenuhnya kepada Pengerusi BN untuk memuktamadkan permohonan dan rayuan mereka itu,” ujarnya 

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu mengambil pendekatan "pinjam satu, beri satu" susulan perebutan kerusi dengan MCA di Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan mengakui kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju merupakan milik MCA, namun meminta salah satu kerusi berkenaan dipinjamkan kepada Umno.

"Kita sudah mohon supaya MCA pulangkan balik kedua-duanya kepada Umno dan kita putuskan satu kerusi dipinjamkan kepada Umno, manakala satu kerusi lagi diserahkan kepada MCA semula," katanya.

Sementara itu, ketua bahagian MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look enggan mengulas sama ada partinya akan bertanding di kerusi itu sehingga pengesahan rasmi dibuat.

Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu.

Kedua-dua kerusi itu dimenangi PKR pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Pemuda UMNO Wangsa Maju mengakui kecewa dengan keputusan itu kerana telah bekerja lama. Mereka hanya  meluahkan perasaan tidaklah sampai mensabotaj parti. Apapun MCA dan UMNO menyerahkan kepada keputusan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskannya.

Comment