PRU14 Calon Pilihan Rakyat Penentu Kemenangan
15:04 Apr 16, 2018  |  By
PRU14 Calon Pilihan Rakyat Penentu Kemenangan

Melihat keputusan pilihan raya umum ke-13, 13 kerusi adun yang dimenangi pembangkang adalah disebabkan kecuaian BN meletakkan calon yang kurang dikenali atau calon lama.

Rakyat Sabah pasti berdebar-debar dan tidak sabar lagi untuk mengetahui siapakah bakal calon BN apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membuat kenyataan bahawa senarai calon pilihan raya umum ke-14 untuk BN akan diumumkan dalam tempoh 7 atau 10 hari sebelum tarikh penamaan calon pada 28 April 2018. Pujian harus diberikan kepada Tengku Adnan kerana telah menegaskan yang BN akan menyenaraikan calon BN yang disukai rakyat dan bukan dipilih menerusi kehendak individu tertentu ataupun parti. Pendekatan BN kali ini dilihat adalah jauh lebih matang dan bijak berbanding pada pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 dimana banyak calon-calon besar BN ketika itu tewas kerana rakyat inginkan perubahan dalam kepimpinan BN dan sudah bosan dengan pemimpin-pemimpin BN yang lama.

Kembali kepada keadaan politik di Sabah, pendekatan BN yang ditegaskan Tengku Adnan harus dipandang serius dan diaplikasikan sepenuhnya pada pilihan raya umum ke-14. Dengan kehadiran Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Apdal dan kesepakatannya dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Sabah, bakal calon BN yang dipilih haruslah berjiwa rakyat dan popular dengan kawasan setempat. Memang benar Sabah adalah kubu kuat BN dan bukan mudah untuk menawan sebahagian daripada 25 kerusi parlimen yang ditawarkan tetapi calon BN yang tidak tepat atau kurang disenangi rakyat mungkin akan memberi kelebihan kepada calon-calon pembangkang untuk mengeksploitasi keadaan dan merampas sebahagian daripada kerusi-kerusi parlimen panas di Sabah.        

Jika dilihat dari segi strategi, parti-parti pembangkang di Sabah lebih bersifat “tunggu dan lihat” dan banyak memainkan isu “Sabah for Sabahan” "Sabah Ubah" kerana tidak banyak isu-isu sosial atau ekonomi yang boleh diketengahkan oleh mereka. Walaupun arus pembangkang sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi-pengundi di Sabah terutamanya kaum Cina, boleh dirumuskan yang BN hanya boleh tewas sekiranya calon-calon yang dipilih tidak menepati citarasa rakyat setempat.

Melihat keputusan pilihan raya umum ke-13, 13 kerusi adun yang dimenangi pembangkang adalah disebabkan kecuaian BN meletakkan calon yang kurang dikenali atau calon lama. Pada ketika itu hanya Datuk Jeffrey Kitingan, adik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang boleh digelar nama besar daripada parti pembangkang dan bukannya seperti sekarang, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk VK Liew dan Derrel Leiking telah mewarnai senarai calon parti-parti pembangkang. Rakyat sekarang bijak menilai calon-calon yang diketengahkan pada pilihan raya umum dan mahukan bakal wakil rakyat mereka yang mesra rakyat dan faham akan keperluan mereka.

Berdasarkan fakta-fakta yang dipetik daripada blog “another brick in the wall” (http://anotherbrickinwall.blogspot.my/2018/04/only-penasihat-could-mess-up-fixed.html), BN Sabah berkemungkinan akan berhadapan masalah dengan kerusi-kerusi parlimen di Tenom, Pensiangan, Keningau, Silam, Sepanggar, Kota Marudu dan Batu Sapi. Sekiranya kerusi Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan dan Semporna kekal milik pembangkang dan 7 kerusi parlimen yang disebut awal tadi berjaya ditawan oleh pembangkang juga, maka usaha BN untuk mengembalikan semula kuasa 2/3 mungkin terhalang. BN harus sedar PAS hanya mampu mempengaruhi pengundi-pengundi di blok negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu. Pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang, PAS diramal akan kembali menjadi parti kampung dan BN mampu merampas 10 atau 15 kerusi PAS.

Faktor calon atau 'winnable candidate' adalah faktor terpenting BN mengekalkan kemenangan majoriti 2/3 di Sabah.

 

1 Comment