Pairin setuju untuk tanding - tapi untuk kerusi Tambunan sahaja
15:04 Apr 23, 2018  |  By SabahKini2
Pairin setuju untuk tanding - tapi untuk kerusi Tambunan sahaja

Selepas dipujuk akhirnya Pairin Kitingan setuju bertanding dalam PRU ke 14 tetapi hanya di DUN Tambunan

KENINGAU : Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akhirnya bersetuju mempertahankan kerusi DUN Tambunan pada pilihan raya umum ke-14 yang akan datang ini, manakala untuk kerusi Parlimen Keningau pula, beliau memutuskan untuk memberi laluan untuk ianya dipertandingkan oleh Timbalan Ketua PBS Bahagian Tambunan, Datuk Daniel Kinsik.

Pairin merupakan satu-satunya ahli politik Sabah yang bertanding untuk kedua-dua kerusi Parlimen dan juga DUN dalam pilihan raya umum tahun 2013.

Pairin, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, telah bersetuju dengan permintaan Ahli Jawatankuasa Bahagian PBS Tambunan semasa membuat Kunjungan Hormat ke pejabatnya di Ibu Pejabat parti tersebut di Kota Kinabalu, Jumaat.

Kunjungan Hormat oleh seramai 15 orang Ahli Jawatankuasa PBS Tambunan itu telah diketuai oleh Naib Ketua PBS Bahagian Tambunan, Datuk Lawrence Gimbang.

Antara yang hadir dalam Kunjungan Hormat itu termasuklah Setiausaha Bahagian Laiwon Dallus, Lajiun Gunting (Penolong Setiausaha), Wilfredoline Jakil (Bendahari), Silverius Bruno (Ketua Penerangan), Rockey J. Budin (Ketua Pemuda), Edwin Danis (Setiausaha Eksekutif).

Lain-lain Ahli Jawatankuasa yang hadir sama adalah Paladius Daminic, Linus Gansilou, Vincent Saradon, Peter James, Primus Ansibil, Zainal Rasid, Jairim Jamilie (Juruaudit) dan Robert Yandiu.

Wilfredoline, yang bertindak selaku jurucakap kumpulan itu berkata, mereka cukup berterima kasih kepada Pairin kerana telah menerima permintaan itu dan menyeru para penyokong dan pengundi di Tambunan untuk sentiasa memberi sokongan sebulat suara kepada Pairin "Kerana khidmat bakti beliau yang mewakili masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) di negeri ini masih diperlukan."

Wilfredoline, yang juga merupakan Setiausaha Politik di Kementerian Pembangunan Infrastruktur itu juga menyatakan bahawa Pairin telah berjaya membawa perkembangan pesat ke Tambunan.

"Tambahan pula, kepimpinan beliau selaku Ketua PBS Bahagian Tambunan dan selaku mantan Ahli Parlimen Keningau telah diterima dengan baik oleh semua orang di kawasan ini sejak beliau pertama kali bertanding di bawah Berjaya pada tahun 1976.

"Penduduk di kawasan ini masih memerlukan khidmat bakti beliau di atas kepimpinannya yang mesra serta disukai ramai, dan merupakan seorang pemimpin yang berorientasikan rakyat.

"Dengan persetujuan beliau itu, tentu saja akan mampu mempergiatkan lagi usaha-usaha pembangunan yang berkesinambungan di bawah pemerintahan BN ke arah TN50," katanya lagi. Wilfredoline turut menyeru rakyat di kawasan Parlimen Keningau agar dapat terus memberi sokongan kepada Daniel dalam pilihan raya akan datang ini.

Semasa pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Pairin berjaya memperoleh 5,586 undi dengan 2,079 majoriti, dalam pertandingan melibatkan lima penjuru bagi kerusi DUN Tambunan.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri yang ke-7 bagi negeri Sabah dalam kerajaan PBS pada April 1985 hingga Mac 1994.

Pairin juga telah memenangi kawasan Parlimen Keningau itu sejak 1986, semasa PRU ke-7 sehingga PRU ke-13, dan Menang Tanpa Bertanding sebanyak tiga kali iaitu pada PRU ke-7 (1986), PRU ke-8 (1990) dan juga PRU ke-11 (2004).

Bagi kerusi Parlimen Keningau pula, dalam pilihan raya umum ke-13 (2013) yang lalu Pairin menang dengan memperoleh sebanyak 15,818 undi dengan 3,918 majoriti, dalam pertarungan tiga penjuru yang turut melibatkan adik beliau sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mewakili STAR.

Comment