Jumat Pemimpin Setia, UMNO Teliti Semula Penggantungan Keahlian- Salleh
10:04 Apr 30, 2018  |  By SabahKini2
Jumat Pemimpin Setia, UMNO Teliti Semula Penggantungan Keahlian- Salleh

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pendirian yang dizahirkan Jumat mengenai kesetiaannya kepada parti membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan bersedia menerima keputusan daripada pucuk pimpinan.

KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Sepanggar Datuk Jumat Idris untuk terus setia dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) sebagai pemimpin tulen dan sejati.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pendirian yang dizahirkan Jumat mengenai kesetiaannya kepada parti membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan bersedia menerima keputusan daripada pucuk pimpinan.

"Saya gembira kerana kesetiaannya untuk terus  bersama BN malah akan menyokong perjuangan BN bagi memastikan kemenangan kerusi Parlimen Sepanggar kekal dalam genggaman BN.

"Beliau (Jumat) tahu perjuangan masih lagi panjang. Saya yakin dengan kerjasama kita mampu meneruskan (legasi) kepimpinannya di Sepanggar dalam membawa pembangunan di kawasan ini," katanya.

Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis kenduri doa selamat dan Kupi-Kupi sempena PRU14 yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong di kediaman Jumat di sini, malam ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Salleh berkata perbincangan akan dibuat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selalu Presiden parti berhubung proses mengembalikan semula keanggotaan Jumat dalam UMNO. 

UMNO akan meneliti semula arahan penggantungan keahlian penyandang Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris, yang digantung sejak tahun 2015.

"Saya kata, 'Datuk Seri (Najib), dia (Jumat) digantung, dia dah menyatakan kesetiaan dan tidak adil dia digantung.'

"Saya kata kita kena "reinstate" keahlian Datuk Jumat dan Datuk Seri Najib kata, 'Yes, we should.'," kata Datuk Seri Salleh dalam ucapannya di kediaman Datuk Jumat di Likas.

Bagaimanapun, tambahnya, penilaian arahan itu akan bergantung kepada keputusan parti kerana ia perlu melalui beberapa prosedur parti terlebih dahulu.

Sementara itu, calon BN kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman melahirkan penghargaan dan terharu atas keikhlasan Jumat untuk membantu beliau dalam kempen sekali gus bersama-sama berjuang mempertahan Parlimen Sepanggar pada PRU14.

Datuk Jumat sebelum itu, telah menyatakan pendirian akan terus menyokong Barisan Nasional dan calon baharu di kerusi Parlimen Sepanggar, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

"Mari kita lupakan segala masalah di belakang, lihat ke depan dan fokus pada Pilihan Raya Umum ke-14, tidak peduli siapa jadi calon, bila parti (BN) sudah pilih, maka itulah pilihan kita," kata Datuk Jumat di hadapan lebih tiga ribu penyokong yang membanjiri kediamannya

Pada PRU13, Jumat menang kerusi Parlimen Sepanggar dengan memperoleh majoriti 9,442 undi.

Pada PRU14 ini, Abdul Rahman yang mewakili BN-UMNO akan dicabar calon Warisan Mohd Azis Jamman, Jeffrey Kumin (SAPP) dan Robert Sopining (PCS) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.

 

 

 

 

 

477 Comments