Guan Eng belum sah Menteri Kewangan tunggu kes rasuah di mahkamah selesai
19:05 May 14, 2018  |  By SabahKini2
Guan Eng belum sah Menteri Kewangan tunggu kes rasuah di mahkamah selesai

Kita kena ikut peraturan perundangan. Jika undang-undang memutuskan dia bebas daripada sebarang tuduhan barulah dia boleh jadi menteri (Kewangan). Jadi kita tunggulah,"- PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan jawatan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan belum dimuktamadkan selagi beliau belum mengangkat sumpah.

Kata Dr Mahathir, Guan Eng ketika ini hanya dinamakan sebagai menteri Kabinet dalam salah satu daripada 10 kementerian yang ditubuhkan Pakatan Harapan.

"Dia (Guan Eng) belum angkat sumpah, dia dinamakan tetapi belum angkat sumpah... dia bukan menjadi menteri sebelum angkat sumpah," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Isnin.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas status Guan Eng yang diumumkan sebagai Menteri Kewangan pada Sabtu memandangkan beliau terpalit dengan kes rasuah yang sedang dibicarakan.

Bagaimanapun jelas Dr Mahathir lagi, Guan Eng hanya boleh dilantik sebagai menteri Kabinet sehingga beliau disahkan bebas daripada sebarang pertuduhan di mahkamah.

"Kita kena ikut peraturan perundangan. Jika undang-undang memutuskan dia bebas daripada sebarang tuduhan barulah dia boleh jadi menteri (Kewangan). Jadi kita tunggulah," katanya.

Tarikh perbicaraan kes Guan Eng akan disambung semula pada 21 hingga 25 Mei ini.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, untuk mendapatkan kepentingan kepada diri sendiri dan isterinya dengan meluluskan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd bagi menukar tanah pertanian menjadi tanah kediaman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk membeli rumah di Jalan Pinhorn daripada Phang dengan harga RM2.8 juta, yang berada di bawah nilai pasaran hartanah berjumlah RM4.27 juta.


-mstar online

1 Comment