Pengampunan Anwar ditunda atas permintaan Perdana Menteri
09:05 May 15, 2018  |  By SabahKini2
Pengampunan Anwar ditunda atas permintaan Perdana Menteri

Lembaga Pengampunan ditetapkan pada Selasa ditangguhkan ke 11 pagi Rabu ini atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengampunan dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tertangguh.

“Janji kita untuk mendapatkan pengampunan kepada Anwar akan diteruskan, tetapi prosesnya (perlu) diikuti.

“Walaupun sudah diputuskan, Lembaga Pengampunan (Diraja) mungkin bersidang lewat sedikit kerana kita nak ikut peraturan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam satu surat di keluarkan Istana, Yang di-Pertuan Agong akan memuktamadkan pengampunan dan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Sultan Muhammad V berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan untuk pembebasan segera ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkata, mesyuarat itu yang pada awalnya ditetapkan pada Selasa ditangguhkan ke 11 pagi Rabu ini atas permintaan Pejabat Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada 16 Mei, Rabu menjelang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lembaga Pengampunan itu dipengerusikan Agong dan turut dianggotai perdana menteri serta peguam negara yang akan mempertimbangkan petisyen pengampunan dan pembebasan Anwar.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Agong sedia memberi pengampunan diraja dan pembebasan serta-merta kepada Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara 5 tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya yang dikenakan Mahkamah Rayuan.

Comment