GST Mansuh dalam 100 hari - Zeti
19:05 May 15, 2018  |  By SabahKini2
GST Mansuh dalam 100 hari - Zeti

Kami akan mengumumkan strateginya dan jika ia memerlukan sebarang proses, ia akan mengambil masa

KUALA LUMPUR: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata kerajaan akan mengumumkan cara memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh 100 hari.

“Kami akan umum bagaimana kami akan melaksanakannya, sama ada sifarkannya atau dalam apa jua proses ia akan dilaksanakan.

“Kami akan mengumumkan strateginya dan jika ia memerlukan sebarang proses, ia akan mengambil masa,” katanya di Sasana Kijang, pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan dan pembelajaran yang ditubuhkan BNM di sini, hari ini.

Zeti yang merupakan antara 5 anggota Majlis Penasihat Kerajaan bagi membantu kerajaan baru Pakatan Harapan, meyakinkan orang ramai GST akan tetap dimansuhkan.

“Ia sudah diputuskan. Jadi, kini hanya bergantung kepada cara kita melaksanakannya, contohnya jika kita jadikan 6% kepada 0%. Kami belum putuskan caranya, tetapi ia tetap akan dilaksanakan.

“Tun Dr Mahathir Mohamad sudah banyak kali menyatakan kita akan mengikut peraturan dan proses yang wujud di negara ini dan tidak akan menyimpang daripanya semasa cuba melakukan perubahan ini.

“Apa yang kami akan lakukan dalam tempoh 100 hari adalah mengumumkan apa yang kami mahu lakukan dan kemudian ia akan dilakukan mengikut proses, sama ada menerusi Parlimen untuk kelulusan.”

Katanya, objektif paling utama adalah meningkatkan pendapatan golongan pertengahan dan bawahan.

Zeti tidak percaya akan berlaku penurunan terhadap penarafan kredit jika GST dimansuhkan.

“(Ia tidak akan berlaku) selagi kedudukan fiskal kita bertambah baik, itu yang sedang kita usahakan.

“Kedudukan fiskal boleh ditingkatkan daripada aspek pendapatan juga, jadi akan ada keutamaan projek disusun semula, usaha meningkatkan kecekapan kerajaan dan mengurangkan pembaziran dalam sektor awam.

“Ini akan meningkatkan kedudukan fiskal dan apabila ia diperbaiki, maka kita akan mendapat penarafan lebih baik.”

-FMT

1 Comment