Tan Sri Musa nafi takutkan TYT Sabah
22:05 May 24, 2018  |  By SabahKini2
Tan Sri Musa nafi takutkan TYT Sabah

Pengerusi BN Sabah itu menyuarakan rasa kesal kerana terpaksa mengheret Juhar dalam writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman menafikan semua dakwaan terhadapnya tentang intimidasi jenayah terhadap Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin atau sesiapa pun.

Peguam Musa, Zahir Shah berkata demikian susulan laporan polis Juhar terhadap pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu pada 19 Mei lalu.

Beliau berkata, Musa menyuarakan rasa kesal kerana terpaksa mengheret Juhar dalam writ saman difailkan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon pengisytiharan untuk kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

“Tan Sri Musa menambah pada akhirnya, kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dan peruntukan Perlembagaan Sabah mesti dihormati dan dipatuhi,” kata peguam itu dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Juhar membuat laporan polis terhadap Musa dipercayai ada kaitan dengan upacara angkat sumpah jawatannya sebagai ketua menteri pada 10 Mei lalu.

Selepas pilihan raya 9 Mei lalu, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah di depan TYT selepas BN bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, 2 hari kemudian, Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas 6 adun BN berpaling tadah kepada Warisan.

Enggan meletak jawatan, Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri, Abinan Asli pada 14 Mei lalu menyampaikan surat pemberitahuan kepada Musa, beliau bukan lagi ketua menteri.

Sementara itu, polis hari ini meminta Musa tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk diambil keterangan berhubung laporan polis dibuat Juhar.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau berkata, setakat ini, polis sudah merakamkan percakapan 9 saksi dalam kes tersebut.- FMT

 

4 Comments