Zahid: Saya tidak tahu dakwaan PBB keluar BN
18:06 Jun 07, 2018  |  By SabahKini2
Zahid: Saya tidak tahu dakwaan PBB keluar BN

Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan meninggalkan BN di luar pengetahuan saya,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zahid Hamidi berkata dakwaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak meninggalkan BN, di luar pengetahuannya.

Bekas timbalan perdana menteri itu, berkata beliau juga tidak bertemu presiden PBB, yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan merayu agar parti ke-2 terbesar dalam BN itu tidak meninggalkan BN, seperti dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.

Portal berkenaan dalam sebuah artikel hari ini mendakwa Abang Johari memaklumkan keputusan keluar BN dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 31 Mei lalu.

Beliau kemudiannya turut dilapor berjumpa Ahmad Zahid di Kuala Lumpur, di mana pengerusi BN itu didakwa telah meminta Abang Johari untuk tidak meneruskan langkah untuk keluar daripada BN kerana gabungan itu akan hancur sekiranya ia terjadi.

Zahid bagaimanapun, berkata beliau amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara kerajaan negeri Sarawak dengan kepimpinan kerajaan Persekutuan.

“BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Dengan kenyataan ini diharap tidak ada pihak yang melaporkan berita secara serkap jarang dan kurang profesional,” tambahnya. - FMT

2 Comments