Kemenangan Anifah Aman tidak wajar dipertikaikan
19:06 Jun 18, 2018  |  By SabahKini2
Kemenangan Anifah Aman tidak wajar dipertikaikan

Alasan mereka adalah kerana keputusan kemenangan kali ini amatlah tipis. Kemenangan Anifah adalah kemenangan yang jujur tanpa perlu dibangkitkan mengenai perolehan undi.

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis tidak seharusnya dipertikaikan, sebaliknya perlu diterima dengan hati terbuka.

Penganalisis politik, Abdul Jalil Abdul Ghani, berkata sekarang adalah masa untuk bekerja membangunkan negeri dan negara, bukannya terus mempolemikkan isu majoriti besar atau tipis.

Beliau berkata, menang atau kalah dalam politik adalah adat pertandingan kerana politik adalah serba mungkin, malah di tangan pengundi atau rakyat yang menentukan jatuh bangunnya seseorang pemimpin.

Katanya, masih ada sesetengah pihak termasuk di kawasan Kimanis yang enggan menerima kenyataan mahupun kekalahan dan sanggup melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas bukan sahaja kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah kepada bekas Menteri Luar itu.

"Alasan mereka adalah kerana keputusan kemenangan kali ini amatlah tipis. Kemenangan Anifah adalah kemenangan yang jujur tanpa perlu dibangkitkan mengenai perolehan undi. Menang tipis atau majoriti, rakyat sudah memilih dan itu adalah hakikat.

"Seringkali kita mendengar kenyataan menang tetap menang walaupun dengan kelebihan satu undi namun pihak yang kalah tidak mahu menerima realiti kekalahan mereka di Parlimen Kimanis

"Mereka enggan menerima bahawa rakyat sudah bersuara dan masih memilih Anifah sebagai wakil mereka di Parlimen berdasarkan pencapaian sebagai wakil rakyat serta pembangunan yang dibawa selain perjuangan yang disuarakan demi kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia di persada dunia," katanya.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) memfailkan petisyen mencabar keputusan empat kerusi parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Petisyen itu dibuat bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerusi Parlimen dan DUN itu, yang dimenangi BN pada PRU-14 lalu tidak sah dan terbatal, termasuk kerusi Tan Sri Musa Aman (DUN Sungai Sibuga) dan adiknya, Datuk Seri Anifah Aman (Parlimen Kimanis).

Abdul Jalil berkata, pelbagai kejutan berlaku pada PRU-14 apabila BN tewas teruk, sekali gus menghentikan fitnah serta dakwaan kononnya proses pilihan raya di Malaysia tidak telus dan tidak dilaksanakan secara adil dan saksama.

Beliau berkata, rakyat membuat keputusan serta mengundi bukan hanya berdasarkanparti tetapi berdasarkan calon diketengahkan.

Katanya, kemenangan tipis berkemungkinan menggambarkan konflik rakyat sama ada mengundi berdasarkan parti ataupun calon.

"Biar menang tipis tetapi impak membantu rakyat secara keseluruhan dilakukan Anifah tidak ternilai. Rakyat kini bijak menilai dan tidak lagi memilih berdasarkan parti sahaja.

"Rakyat juga memilih berdasarkan calon, maka tidak wajar kita menghukum seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat serta mendahulukan rakyat hanya kerana takut kepada bayang-bayang sendiri," katanya.- BH Online

 

1 Comment