Isu air hospital Semporna harap Shafie Apdal ambil perhatian serius -Wong
18:06 Jun 20, 2018  |  By SabahKini2
Isu air hospital Semporna harap Shafie Apdal ambil perhatian serius -Wong

Hospital Semporna sejak 3 tahun lalu mengalami masalah air. Shafie Apdal sejak 20 tahun lalu adalah Ahli Parlimen Semporna.

TAWAU- Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Stephen Wong mahu masalah kekurangan air yang berlarutan selama tiga tahun di Hospital Semporna diselesaikan dengan kadar segera.

Justeru, katanya, beliau akan membawa isu itu kepada Kabinet negeri dalam tempoh terdekat bagi memastikan jabatan yang berkenaan menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Beliau berkata jika hospital itu menghadapi kekurangan air maka doktor dan juruawat terpaksa mengambil air dari luar atau mengisi tangki lebih awal serta ada pesakit terpaksa membawa bekalan air untuk kegunaan sendiri semasa ditahan di wad.

"Perkara ini tidak masuk akal, ini bukan sahaja menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan tetapi juga menyebabkan kesulitan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Tawau dan mendengar taklimat daripada pengurusan hospital berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, ketika mengadakan lawatan ke Hospital Semporna semalam, beliau difahamkan oleh kerana hospital berkenaan jauh daripada sumber bekalan air dan juga terletak sebagai perhentian terakhir bekalan air, menyebabkan hospital itu sentiasa menghadapi kekurangan air.

Wong yakin masalah kekurangan air di Hospital Semporna akan mendapat perhatian serius Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Shafie Apdal adalah ahli Parlimen Semporna sejak 20 tahun lalu jadi Shafie mesti lebih tahu.

Mengenai Hospital Tawau, katanya, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan beberapa perkara termasuk masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital berkenaan.

Menurutnya, pihaknya akan memohon tanah daripada kerajaan negeri serta agensi berkaitan kerajaan dalam membantu untuk menangani masalah tersebut.

"Banyak lagi yang perlu dinaik taraf di hospital ini antaranya termasuk tempat simpan ubat, hal ini perlu seiring dengan konsep Hospital Tawau sebagai hospital kluster," katanya.- Bernama

Comment