Azis minta Filipina buka konsulat di Sabah selesai masalah pemegang IMM13
11:12 Dec 19, 2018  |  By SabahKini2
Azis minta Filipina buka konsulat di Sabah selesai masalah pemegang IMM13

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata pada dasarnya pegawai Kedutaan Filipina membayangkan ‘menerima’ misalnya pemegang IM13 atau yang tidak berdokumen untuk dihantar balik negara asal, tetapi realitinya adalah tidak.

LAHAD DATU- — Filipina diminta membuka konsulat di Sabah bagi membantu menyelesaikan isu membabitkan rakyatnya termasuk pemegang IM13 yang berada di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata pada dasarnya pegawai Kedutaan Filipina membayangkan ‘menerima’ misalnya pemegang IM13 atau yang tidak berdokumen untuk dihantar balik negara asal, tetapi realitinya adalah tidak.

“Sekarang ini untuk meletakkan pegawai di Sabah pun Kedutaan Filipina tidak mahu dan jika ada orang kita (keselamatan) mahu hantar rakyatnya, sebab kita dakwa ini rakyat mereka, dia (kedutaan) minta kita bawa orang-orang ini pula pergi ke Kuala Lumpur dan kita pula kena beli tiket untuk mereka.

“Bukankah ini menyukarkan kita (Malaysia) dengan bilangan begini ramai bagaimana mungkin untuk kita kalau dia tidak bekerjasama, meskipun dia keluarkan kenyataan di sana (kedutaan) menerima (rakyatnya) tetapi menyusahkan kita pada masa sama,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah dalam pada itu menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Luar untuk menyatakan pendirian berhubung perkara tersebut dan menegaskan Sabah adalah sebuah negeri berdaulat bersama Malaysia.

“Saya ada minta agar dalam agenda Negara-negara ASEAN ada dimasukkan satu agenda iaitu kita (Malaysia) mendesak kerajaan Filipima menggugurkan tuntutan ke atas Sabah,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Azis berkata tiada golongan berkecuali termasuk Pala’u akan ditangkap jika terbukti melanggar undang-undang negara.

Namun katanya tindakan sterotaip semua Pala’u sebagai pembawa masalah adalah tidak wajar, hanya kerana segelintir daripadanya ada terlibat masalah sosial serta dikaitkan dengan tali barut kepada penjenayah rentas sempadan.

“Nyatanya, mana-mana pihak tidak kira siapa saja mahupun Pala’u, agama dan apa bangsa pun, selagi dia melanggar undang-undang negara, menjadi talibarut kepada penculik,pengganas kita akan tangkap kalau ada asas dan bukti yang kukuh,” katanya.

Pala’u dikenali sebagai Gipsi Laut kerana hidup secara nomad di lautan dan tinggal di dalam perahu, selain tidak diakui sebagai rakyat Filipina atau Indonesia. Majoriti masyarakat ini kini dikesan menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Susulan itu, bagi menangani masalah jenayah dibawa warga asing (tidak berdokumen) termasuk Pala’u di Sabah, Mohd Azis berkata satu proses pemutihan dicadangkan oleh kerajaan negeri sebelum tetapi inisiatif itu disensasikan pihak pembangkang sebagai kerajaan mahu memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin.

“Tetapi realitinya, kita hanya mahu ‘tagging’ mereka, bila orang ini (orang tidak berdokumen) kita tidak ada maklumat dan bilangan mereka, dan terlibat masalah misalnya kes pecah rumah, kita tidak ada rekod orang ini dan ini menjadikan kes itu sebagai kes yang tidak diselesaikan.

“Sebab itu kita mencadang kan satu proses pemutihan di mana kita perlu tag mereka dengan ambil cap jari, pengenalan wajah, kumpulan darah mereka, jadi bila mereka terlibat jenayah kita ada rekod,” katanya.

Menurutnya kerajaan tidak akan sewenangnya memberikan taraf kewarganegaraan kepada individu yang tidak layak.

–BERNAMA

7 Comments