"Dah 3 bulan kami tidak dibayar," kata pekerja Kolej Universiti Yayasan Sabah
03:12 Dec 21, 2018  |  By SabahKini2

Timbalan Pengarah SAC3, Marina Abd Ghanie berkata, UCSF belum lagi membayar gaji 51 orang kakitangan tetap bagi bulan Disember dan 3 bulan gaji bagi 6 kakitangan kontrak.

KOTA KINABALU: Seramai 57 orang kakitangan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF), termasuk Timbalan Pengarah Sabah Animation & Creative Content Centre (SAC3) di sini mendakwa mereka tidak dibayar gaji dan bayaran-bayaran saraan yang lain, masing-masing antara satu sehingga ada yang mencecah tiga bulan.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Sabah hari ini, Timbalan Pengarah SAC3, Marina Abd Ghanie berkata, UCSF belum lagi membayar gaji 51 orang kakitangan tetap bagi bulan Disember dan 3 bulan gaji bagi 6 kakitangan kontrak.

UCSF adalah anak syarikat milik penuh Yayasan Sabah.

Seluruh kakitangan UCSF dari jabatan atau pusat yang lain telah menerima gaji Disember mereka semalam menjelang musim cuti Krismas yang bakal tiba.

SAC3, yang ditubuhkan pada 2009, pada asalnya diletakkan di bawah Kolej Yayasan Sabah (KYS), sebagai agensi pelaksana, sebelum dipindahkan ke UCSF sejak tahun 2014.

Segala perbelanjaan, termasuk emolumen kakitangan, ditanggung oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang menyalurkan dana melalui UCSF untuk membayar gaji dan pelbagai bil SAC3.

SAC3 membawa lebih daripada RM3 juta pendapatan setahun kepada UCSF, sedangkan jumlah gaji bulanan kakitangannya yang perlu ditanggung hanya berjumlah RM200,000 termasuk caruman KWSP.

Marina berkata masalah itu bermula apabila gaji September mereka hanya dibayar pada 12 Okt dan 2 Nov.

Gaji pokok bagi bulan Oktober dan November pula kemudiannya dibayar pada 3 dan 19 Disember, kepada 51 orang kakitangan tetap. Manakala enam pekerja kontrak lagi tidak dibayar.

SAC3, katanya, telah membuat aduan kepada Jabatan Buruh tetapi tuntutan daripada enam orang kakitangan tidak dapat dilayan kerana gaji mereka melebihi had RM5,000 jabatan.

"Pertemuan antara SAC3, UCSF dan SEDIA telah diadakan pada 30 November untuk membincangkan tunggakan tersebut. Bagaimanapun, UCSF enggan membayar gaji SAC3 walaupun SEDIA mahu membayar balik tuntutan RM1 juta kepada UCSF pada minggu pertama bulan Disember," katanya.

Marina berkata beliau telah menghantar surat rayuan kepada Pengarah Yayasan Sabah sebanyak dua kali tetapi hanya diarahkan untuk berbincang tentang perkara itu dengan UCSF terlebih dahulu. Menurut Marina lagi, beliau menulis surat itu kepada Yayasan Sabah kerana ia adalah pemilik UCSF.

Rayuan untuk bantuan

Pada masa yang sama, beliau juga telah membuat rayuan bagi mendapatkan sokongan dan bantuan daripada Kementerian Pendidikan dan Inovasi Negeri.

Sebahagian daripada mereka yang terlibat ada yang sampai membuat laporan polis setelah mendapat tahu bahawa pembayaran pinjaman melalui potongan gaji mereka tersekat.

"Dua kakitangan telah menerima notis daripada bank untuk melelong rumah mereka kerana mereka tidak dapat membayar ansuran bulanan mereka yang kini telah tertangguh selama tiga bulan."

Beliau berkata terdapat juga bukti bahawa KWSP bagi 51 orang kakitangan tidak dibayar pada Oktober manakala KWSP untuk bulan November dan Disember dibayar pada 18 Disember.

KWSP untuk enam orang kakitangan, termasuk empat orang kakitangan dari Semenanjung, belum lagi dibayar sejak Oktober.

Meskipun begitu, Marina berkata mereka masih terus bekerja memandangkan pusat itu pada masa ini mempunyai 204 orang pelajar, 90% daripadanya adalah di bawah pembiayaan biasiswa dari Yayasan Sime Darby dan juga Unit Perancang Ekonomi Sabah (EPU).

"Beberapa pelajar juga mengadu bahawa mereka tidak menerima elaun bulanan mereka sejak April, dan beberapa orang lagi sejak Ogos," katanya.

"Kami berharap kami boleh mendapatkan layanan yang adil daripada pihak pengurusan UCSF dalam perkara ini. Kami telah cuba meminta bantuan daripada pelbagai sumber tetapi tidak berjaya.

"Kami semua ada keluarga untuk ditanggung dan komitmen kewangan untuk dipenuhi, tetapi UCSF seolah-olah sengaja menangguhkan gaji kami tanpa rasa bersalah," katanya.

Semasa dihubungi, seorang pegawai di Jabatan Sumber Manusia UCSF memberitahu bahawa SAC3 tidak berada di bawah UCSF dan ia merupakan tanggungjawab Institut Pengajian Pembangunan (IDS).

Justeru, pegawai itu mengatakan bahawa keseluruhan isu itu menjadi salah faham besar di pihak SAC3.

Walau bagaimanapun, jabatan itu tidak dapat menjelaskan mengapa surat pelantikan dan slip gaji kakitangan dibuat di bawah UCSF.

Surat bertarikh 21 September tahun ini daripada Pengerusi IDS Simon Sipaun kepada UCSF secara jelasnya menafikan dakwaan UCSF yang mengatakan bahawa SAC3 milik IDS.

Sipaun, dalam surat tersebut, berkata IDS telah memutuskan untuk tidak mengambil alih SAC3 kerana mereka "tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk perkara tersebut".- Asal FMT

3 Comments