Kelantan dapat manfaat, saham Asdion naik selepas ambil alih Kingdom Infra RM66.5 juta
12:03 Mar 19, 2019  |  By SabahKini2
Kelantan dapat manfaat, saham Asdion naik selepas ambil alih Kingdom Infra  RM66.5 juta

Pembelian Asdion Berhad terhadap syarikat Kingdom Saga Sdn Bhd untuk menguasai Pangkalan Pembekalan Tumpat (TSB) di Tumpat, Kelantan pasti menguntungkan syarikat itu dan negeri Kelantan. Export 7,200,000 tan mineral, dari Kelantan ke China.

KUALA LUMPUR: Syarikat logistik, Asdion Bhd, mengumumkan menandatangani Perjanjian Induk untuk mengambil alih Kingdom Infra Sdn Bhd (Kingdom Infra), sebuah syarikat pengendali pangkalan pembekalan daripada Kingdom Saga Sdn Bhd pada harga RM66.5 juta.

Asdion dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata Kingdom Infra memegang hak eksklusif untuk mengendalikan Pangkalan Pembekalan Tumpat (TSB) di Tumpat, Kelantan termasuk hak pangkalan pembekalan marin dan sebuah tanah pelabuhan berkeluasan 12 hektar.

Syarikat itu akan membiayai pengambilalihan Kingdom Infra melalui dana dalaman dan penerbitan saham.

Pengambilalihan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan perjanjian penjualan saham bersyarat yang akan dimeterai kemudian.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang berkaitan, Asdion berkata Kingdom Infra akan mengendalikan eksport yang dijamin iaitu sebanyak 7,200,000 tan mineral, dari Kelantan ke China, bernilai RM151 juta dalam tempoh lima tahun.

Kingdom Infra akan menjamin eksport mineral yang akan menghasilkan keuntungan sebanyak RM12 juta untuk tahun kewangan 2020.

Kontrak dagangan ini akan berjalan sehingga lima tahun, kata Asdion.

Pemilikan Asdion terhadap syarikat Kingdom Infra bakal menaikkan saham syarikat itu

Kingdom Infra akan melabur RM20 juta untuk Fasa 1 TSB, yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2020. Fasa 1 projek itu meliputi penubuhan platform baik pulih kapal, pembaikan, penyenggaraan, penyimpanan kontena, gudang dan lain-lain perkhidmatan pangkalan pembekalan.

Fasa tersebut juga menyaksikan kerja naik taraf jalan pantai sepanjang 4.2 km, pejabat pangkalan, jeti serta kemudahan untuk perkhidmatan pelanggan penyimpanan kontena dan mineral sedia ada di atas tanah pelabuhan seluas 12 hektar.

Sekarang ini, Malaysia mempunyai tiga TSB utama iaitu Tok Bali, Kemaman dan Labuan.

TSB yang baharu ini akan terletak berhampiran dengan sempadan Malaysia dan Thailand, ini akan menyediakan akses mudah ke Teluk Thailand.

 

 

1 Comment