Kini Ekuinas jual kepentingan dalam MediExpress, PMCare
11:04 Apr 05, 2019  |  By SabahKini2
Kini Ekuinas jual kepentingan dalam MediExpress, PMCare

Lagi kepentingan Saham 60 peratus dijual kepada syarikat gergasI Jepun

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) telah menjual keseluruhan kepentingan saham sebanyak 60 peratus dalam pembekal perkhidmatan pentadbir tuntutan pihak ketiga (TPA), MediExpress Group dan PMCare Sdn Bhd kepada Sumitomo Corporation.

Penjualan itu akan menjana kadar pulangan dalaman minimum sebanyak 38.8 peratus, kata Ekuinas dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan harga yang dibayar oleh syarikat gergasi Jepun itu.

Katanya, pemegang saham Malaysia/minoriti, sebahagiannya telah keluar tetapi akan terus memegang kepentingan bermakna dan kekal sebagai pengurusan dalam entiti masing-masing.

Ekuinas, sebuah pengurus dana ekuiti swasta yang berkaitan dengan kerajaan, telah berjaya menyampaikan pelan-pelan pewujudan nilai bagi MediExpress dan PMCare sepanjang tempoh pelaburan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

"Usaha ini merangkumi operasi penambahbaikan dalam proses serta sistem, pengukuhan pasukan operasi dan pengurusan termasuk meningkatkan bahagian pasaran mereka," katanya.

Ekuinas berkata MediExpress, yang terdiri daripada MediExpress Sdn Bhd dan Health Connect Sdn Bhd serta PMCare memberikan tumpuan khususnya kepada pengurusan pesakit dalam dan pesakit luar bagi pihak pelanggan.

Ketika MediExpress memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat insurans, PMCare memberikan perkhidmatan kebanyakannya kepada pelanggan korporat.

Secara bersama, mereka memenuhi tuntutan lebih dua juta anggota merentasi 3,000 penyedia perubatan di Malaysia.

-BERNAMA

Comment